Jangan jadikan Covid-19 ‘hadiah tidak kelihatan’

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PADA penghujung September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan perjalanan rentas negeri akan dibenarkan dalam tempoh beberapa minggu lagi sehingga peratusan kadar vaksinasi mencecah 90 peratus.

“Insya-ALLAH, sabar. Tunggu beberapa minggu lagi, saya percaya 90 peratus dapat dicapai dan kelonggaran diberi untuk rentas negeri," kata Ismail Sabri yang menyifatkan pengumuman mengenai kebenaran rentas negeri itu paling dinanti-nantikan rakyat Malaysia.

Berdasarkan kadar peratusan, negara ketika ini telah mencapai 87.6 peratus populasi dewasa yang menerima dua suntikan vaksin setakat 3 Oktober. Kurang 2.4 peratus lagi untuk sasaran itu dicapai.

Bahkan, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Sabtu menambahkan lagi harapan 32.7 juta rakyat Malaysia untuk pulang ke kampung halaman susulan kadar vaksinasi negara terus mencatatkan peningkatan memberangsangkan.

Pun begitu tegasnya, rakyat perlu terus bertanggungjawab terhadap kawalan kendiri dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

Di sebalik keseronokan mahu menjenguk ibu bapa di kampung, mereka yang berkemampuan wajar membuat ujian kendiri Covid-19 bagi memastikan mereka tidak menjadikan virus pembunuh itu sebagai ‘hadiah tidak kelihatan’.

“Seeloknya bagi yang ingin berjumpa keluarga yang tua, walaupun ibu bapa sudah mendapat vaksin, mereka juga boleh dijangkiti dan berisiko terutama yang ada penyakit serius seperti jantung dan kanser. Tahap imuniti mereka masih rendah.

“Sesiapa yang ada kemampuan buatlah ujian, sebab nak memastikan kita tidak mendedahkan mereka yang ada risiko itu kepada bahaya,” kata Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar.

Artikel Berkaitan:

Tidak salah yang berkemampuan melakukan ujian sendiri memandangkan Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi turut menetapkan syarat bebas jangkitan sebelum menaiki pesawat mahupun feri ke pulau berkenaan.

Malah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memastikan orang ramai boleh memiliki dan melakukan ujian sendiri kerana harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri Covid-19 ditetapkan pada harga RM19.90.

Jika kurang berkemampuan, kata Dr Sazaly, mereka perlu memantau kesihatan sebelum pulang ke kampung dan batalkan perjalanan sekiranya mempunyai simptom.

Selari dengan peningkatan kadar peratusan vaksinasi, negara kembali merekodkan kes di bawah lima angka. Pada Ahad, kes harian Covid-19 yang direkodkan sebanyak 9,066 kes.

Kali terakhir negara mencatat kes di bawah 10,000 adalah pada 12 Julai iaitu sebanyak 8,574 kes.

Malaysia menunjukkan tanda positif kes di bawah 20,000 bermula 13 September dengan 16,073 kes dan jumlah itu terus menurun menjelang fasa endemik penghujung bulan ini.

Sudah hampir pasti berdasarkan peratusan vaksinasi dan jumlah kes yang terus menurun, kebenaran rentas negeri akan diumumkan sendiri oleh Ismail Sabri pada bila-bila masa sebaik sasaran 90 peratus itu tercapai.

Namun, pengurangan kes jangkitan dan peningkatan kadar peratusan vaksinasi bukanlah ‘kemerdekaan’ buat kita.

“Kita jangan terlalu gembira. Ramai kurang faham. Bila kita berada pada fasa endemik, ujian hanya dibuat pada mereka yang memerlukan rawatan di hospital,” kata Dr Sazaly.

Pakar Kesihatan Persekitaran Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman juga senada bahawa penurunan itu bukan petanda masyarakat boleh menarik nafas terlalu lega.

“Kita memang bersyukur kes semakin berkurang, namun kita tidak boleh menarik nafas terlalu lega kerana di peringkat global, masih ada banyak lagi varian baharu akan muncul dan bermutasi.

“Kita harus berjaga-jaga dan mengambil kira faktor luar. Kita kena terima kemasukan pelabur, pelancong dan perniagaan dari luar negara dan jika tidak berhati-hati, ia boleh menjadi punca peningkatan kes,” katanya.

Apa pun, kita perlu sentiasa beringat bahawa kita kini hidup bersama Covid-19 dan perlu memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi bagi memastikan diri kita serta keluarga di kampung halaman tidak dijangkiti virus pembunuh ini.

*Nurul Riduan Nor Ashaha ialah Ketua Unit Premium Sinar Harian