Seorang daripada tiga suspek kes tipu kerja Kemboja ditahan

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Polis menahan seorang daripada tiga suspek yang dikehendaki berkaitan kes penipuan pekerjaan di Kemboja, di kawasan terbuka di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini pada jam 10 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak (JSJK), Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata suspek yang dikenal pasti sebagai Chang Ying Siong berumur 25 tahun ditahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Polis akan memohon perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Majistret Kuching hari ini sekiranya siasatan belum diselesaikan dalam masa 24 jam,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata polis masih memburu dua lagi lelaki yang dikehendaki iaitu Mohd Ghafar Abd Jamal, 26, dan Lai King Loong, 31 tahun.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Pricha Azin di talian 019-889 7640 atau hadir ke mana-mana balai polis berdekatan.

Dalam pada itu, dua suspek yang ditahan pada 25 Februari lepas, iaitu seorang lelaki dan wanita yang masing-masing berumur 35 tahun telah pun dibebaskan dengan jaminan polis, Isnin lepas.- Bernama

Artikel Berkaitan: