Institusi pendidikan Mara disaran wujud alumni WSC

Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Institusi Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (IPMA) disaran supaya mewujudkan sebuah alumni dalam kalangan pelajar mereka yang telah menyertai Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah itu penting bagi membina kesinambungan program selain menjadi platform mengumpul kepakaran dan bakat yang boleh diperluas demi kesejahteraan rakyat.

"Tahun ini bukan kali pertama pelajar IPMA menyertai Pertandingan Kemahiran Dunia, sudah beberapa tahun dan disebabkan itu, saya cadangkan agar satu alumni ditubuhkan antara pelajar yang menyertai pertandingan tersebut.

"Tujuannya adalah untuk kita lihat kemahiran mereka yang pelbagai yang kita boleh gunakan. Kita juga boleh melibatkan pakar bidang berkaitan dalam alumni berkenaan," katanya kepada media selepas menyempurnakan program Sesi Penghargaan Secara Maya kepada tujuh peserta dan empat pakar IPMA yang menyertai WSC 2021 di Ibu Pejabat Mara pada Isnin.

WSC adalah pertandingan kemahiran peringkat tertinggi di dunia yang mengiktiraf belia berkemahiran tinggi dan penyertaannya terbuka kepada semua negara yang menjadi ahli.

Pada edisi WSC tahun ini yang bermula sejak Mac hingga Ogos lepas, Mahdzir berkata, empat daripada tujuh pelajar IPMA berjaya meraih pingat dalam pelbagai bidang kemahiran yang disertai.

Antaranya ialah Hood Haqqi Adzlan, pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kuantan yang merangkul pingat emas dalam bidang Pemprototaipan Pantas di Pertandingan Kemahiran Nasional ke-9 anjuran Worldskills Rusia.

Tiga lagi pelajar iaitu Muhammad Hafizuddin Norizan, Ammer Aiman Misron dan Nur Umairah Mohamad Suwandi pula memenangi pingat perak.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Hafizuddin, pelajar KKTM Rembau, meraih pingat dalam bidang Teknologi Reka Bentuk Grafik dalam Pertandingan Kemahiran Antarabangsa Khabarovsk ke-3 di bawah naungan Worldskills.

Ammer Aiman dan Nur Umairah yang masing-masing merupakan pelajar Institut Reka Bentuk Itali Malaysia, Universiti Kuala Lumpur dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar memenangi pingat dalam bidang Teknologi Reka Bentuk Industri dan Robotik Aerial yang dipertanding di Worldskills Asia (Online Friendly Skills Games 2021).

Mahdzir berkata, kejayaan yang dicapai semua peserta itu membuktikan keberhasilan dasar kerajaan dalam memartabatkan pembelajaran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Beliau berkata oleh itu, di bawah strategi dan inisiatif yang telah digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030, tumpuan akan diberi ke arah memperkasa individu luar bandar yang terlibat dalam program latihan kemahiran serta kegiatan komuniti.

Katanya, tumpuan juga terarah kepada usaha melahirkan lebih ramai belia luar bandar yang kompeten dan berdaya saing melalui program TVET.

Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf pula berkata sejak tahun 2000, lebih 30 pelajar IPMA menyertai WSC dan terdapat keperluan untuk pihaknya mewujudkan alumni seperti yang disaran oleh Mahdzir.

“Ini bagi memastikan pemantauan boleh dilakukan terhadap peserta supaya kita tahu perkembangan dan kedudukan terkini mereka sama ada telah bekerja ataupun menjadi usahawan dalam bidang yang diikuti,” katanya. - Bernama