X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Bawa semangat, keberanian ke Piala Thomas, Uber

Chong Wei
A
A

TIDAK ramai yang meletakkan kepercayaan kepada skuad muda badminton Malaysia tetapi mereka membuktikan bahawa tanggapan itu salah apabila berjaya mempamerkan aksi luar jangkaan pada kejohanan badminton Piala Sudirman di Vantaa, Finland yang menutup tirai semalam.

Ketika Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran awal mara ke suku akhir, beberapa peminat berasa skeptikal bahawa skuad itu akan berjaya melepasi sasaran itu.

Bagaimanapun, pasukan ‘underdog’ atau bukan pilihan itu memberikan persembahan luar biasa untuk menafikan kritikan dengan menyekat kemaraan pemain muda lain di Finland.

Satu perkara yang mungkin diperhatikan peminat sepanjang kejohanan badminton berpasukan campuran dunia itu yang diketuai oleh jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia adalah bagaimana skuad memupuk semangat berpasukan yang hebat untuk melangkah sehingga peringkat separuh akhir.

Justeru, bekas pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei menggesa skuad muda untuk meneruskan semangat juang di Finland ke final Piala Thomas dan Uber di Aarhus, Denmark dari 9 hingga 17 Oktober ini.

Chong Wei berkata, aksi memberangsangkan yang dicapai pada Piala Sudirman pasti akan memberi motivasi kepada mereka untuk beraksi di Denmark mulai Sabtu ini.

“Saya percaya (prestasi) mereka akan lebih baik dan kuat, apa yang mereka semua perlu lakukan ialah menanam semangat ‘never say die’ ke final Piala Thomas dan Uber," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Legenda badminton berusia 38 tahun itu, yang memimpin Malaysia mara ke separuh akhir Piala Malaysia di Guangzhou, China 12 tahun lepas, berpuas hati melihat kapten pasukan Zii Jia membawa rakan sepasukannya untuk mengulangi kejayaan pada 2009.

Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu juga berharap pencapaian luar biasa di Finland akan dapat memberi peluang kepada pemain lain untuk belajar bagaimana menangani tekanan di peringkat kompetitif.

Dalam pada itu, Chong Wei ingin melihat pencapaian di Finland menjadi inspirasi kepada anak muda untuk mencontohi prestasi ‘abang dan kakak’ mereka supaya tidak teragak-agak melakukan sesuatu seperti yang dipamerkan di gelanggang Energia Areena di Vantaa.

Malaysia menang 3-2 ke atas Indonesia pada saingan suku akhir Jumaat lepas namun tidak berupaya menyekat kemaraan Jepun yang menundukkan mereka 3-1 untuk mara ke peringkat akhir pada Sabtu, kekalahan kedua mereka menentang pasukan dari Negara Matahari Terbit itu di Finland.

Skuad kebangsaan memulakan kempen dalam Kumpulan D dengan mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas England diikuti kejayaan menentang Mesir 5-0 dalam aksi kedua sebelum tewas kepada Jepun 1-4, menyaksikan Malaysia menduduki tempat kedua sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choong Hann berkata anak buahnya melakar kejayaan pada kejohanan Piala Sudirman dengan mempamerkan aksi bertenaga walaupun gagal mencipta sejarah mara ke perlawanan akhir.

Bekas pemain kebangsaan itu juga percaya pemain muda ini berada di landasan tepat dan mempunyai masa hadapan yang cerah untuk tahun-tahun akan datang.

Choong Hann berkata, BAM masih memerlukan masa untuk menyelaraskan aspek fizikal pemain muda dalam usaha memastikan mereka bersedia untuk mencabar 20 pemain terbaik dunia tidak lama lagi.

Beliau turut memuji beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah dan beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheah Yee See kerana kedua-dua pasangan itu berjaya mengatasi cabaran sukar dengan mempamerkan aksi terbaik dalam kerjaya mereka setakat ini di Finland. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!