Timbalan Speaker ingatkan ahli Parlimen pakai pelitup muka

Mohd Rashid Kasnon
Mohd Rashid Kasnon
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon pada Isnin mengingatkan ahli Parlimen agar tidak membuka pelitup muka semasa bercakap dan berbahas di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, tindakan membuka pelitup muka ketika berbahas akan meningkatkan risiko penularan jangkitan Covid-19 di Dewan Rakyat.

“Bercakap kuat tanpa pelitup muka meningkatkan jumlah jisim aerosol yang terhasil dan selanjutnya akan meningkatkan risiko penularan jangkitan Covid-19 di dalam dewan yang mulia ini.

“Minta ahli-ahli Yang Berhormat memahami apa yang telah diberikan Speaker sebelum ini,” katanya selepas Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) selesai giliran berbahas bagi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), tanpa mengenakan pelitup muka.

Sebelum Mahfuz mula berbahas, M Karupaiya (PH-Padang Serai) bangkit meminta Speaker membenarkan Ahli Parlimen yang ingin berbahas membuka pelitup muka kerana mendakwa ramai dalam kalangan mereka dilihat sukar bernafas ketika berbahas.

Bagaimanapun Mohd Rashid tidak membenarkan perkara itu, dan sejurus itu Mahfuz yang bangkit untuk berbahas menyatakan bahawa pemakaian pelitup muka ketika berbahas boleh mendatangkan bahaya terhadap kesihatan individu kerana berkemungkinan mengalami semput.

Cadangan Mahfuz itu turut dipersetujui RSN Rayer (PH-Jelutong) yang meminta speaker menimbang perkara itu kerana menurut beliau, sekiranya Ahli Parlimen yang berbahas sesak nafas, mereka berdepan risiko pengsan sekali gus menimbulkan masalah di dalam dewan.

Mahfuz kemudian meneruskan perbahasan tanpa memakai pelitup muka. - Bernama

Artikel Berkaitan: