Covid-19: Cadang wujud dana khas untuk anak hilang ibu bapa

Kerajaan dicadang untuk mewujudkan dana khas bantuan mangsa Covid-19 bagi memastikan kelangsungan hidup dan jaminan pendidikan anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19. - Gambar hiasan 123RF
Kerajaan dicadang untuk mewujudkan dana khas bantuan mangsa Covid-19 bagi memastikan kelangsungan hidup dan jaminan pendidikan anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan dicadang untuk mewujudkan dana khas bantuan mangsa Covid-19 bagi memastikan kelangsungan hidup dan jaminan pendidikan anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Senator Dr Yaakob Sapari berkata, selain itu, peluang pekerjaan juga mungkin boleh ditawarkan kepada sebahagian daripada anak-anak yatim itu.

“Sehingga semalam, jumlah angka kematian akibat Covid-19 mencecah 26,565 kes, ini satu jumlah yang besar yang telah memisahkan keluarga tersayang termasuk ada yang menjadi anak yatim piatu.

“Apakah jaminan kerajaan untuk bela anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 ini? Justeru saya cadangkan untuk mewujudkan dana khas bantuan mangsa Covid-19 ini untuk pelajaran, kehidupan atau beri peluang pekerjaan kepada sebahagian daripada mereka ini (anak yatim),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara di sini pada Isnin.

Yaakob berkata, dana itu perlulah berbentuk satu dana jangka panjang dan bukannnya jangka pendek.

Sementara itu, Senator Fadhlina Sidek berkata, peningkatan kanak-kanak yang menjadi yatim dan yatim piatu berikutan kematian ibu bapa akibat Covid-19 juga memerlukan perhatian dan dasar yang lebih spesifik khususnya dalam aspek kaunseling trauma dan kebajikan.

“Pandemik juga menyaksikan peningkatan keganasan berasaskan gender khususnya keganasan rumah tangga dan gangguan seksual serta isu kesihatan mental yang telah meragut banyak aspek kesejahteraan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Dalam sudut lain, komitmen kita harus tegar untuk memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang berkaitan pendakwaan bagi kes percubaan membunuh diri agar selari dengan unjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang menekankan pemulihan, rawatan dan intervensi dalam isu kesihatan mental,” katanya.

Beliau berkata, semua impak pandemik yang dinyatakan adalah penting dan menjadi tamparan hebat kepada pembikinan polisi kesihatan awam, dasar keselamatan negara dalam menangani wabak serta dasar-dasar yang terkait dengan pentadbiran negara terutama dalam aspek kesejahteraan dan perlindungan sosial kepada rakyat.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok. - Bernama