'Jangan buat andaian bukan-bukan'

Cools (kanan) membarisi skuad Harimau Malaya pada Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai pada Jun lalu.
Cools (kanan) membarisi skuad Harimau Malaya pada Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai pada Jun lalu.
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tampil menjelaskan mengenai isu kecederaan pemain pertahanan negara, Dion Johan Cools yang terlepas aksi persahabatan Tier 1 bertemu Jordan dan Uzbekistan di Amman, Jordan.

Ia selepas Cools yang dikatakan mengalami kecederaan sehingga tidak dapat beraksi bersama Harimau Malaya, diturunkan kelabnya, FC Midtjylland ketika menentang Aarhus Gymnastikforening (AGF) dalam saingan Liga Denmark pada Ahad.

"Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menerima makluman secara rasmi daripada pengarah sukan kelabnya bahawa Dion Cools mengalami kecederaan pada tulang pelvis

"Ketua perubatan kelabnya meminta dia dikecualikan daripada panggilan skuad kebangsaan kali ini. Itu maklum balas yang kita terima. Jadi kita tak boleh nak buat andaian yang bukan-bukan.

"Apa yang saya boleh jelaskan, dia belum 100 peratus cergas dan pulih daripada kecederaan. Memang kita rasa rugi dan sudah tentu setiap kali pemain datang ke skuad kebangsaan kita nak pastikan pemain tersebut berada dalam 100 peratus terbaik dan bebas kecederaan.

"Mungkin juga 10 minit terakhir dia bermain itu sebahagian daripada proses pemulihan. Apa yang penting kita lihat untuk masa hadapan untuk memanggil Dion Cools bersama pasukan kebangsaan," katanya dalam sidang media secara maya pada Isnin.

Sebelum ini, Cheng Hoe membuat keputusan untuk menggugurkan Cools selepas pemain berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan dan tidak dapat bersama Harimau Malaya untuk aksi berdepan Jordan Rabu ini dan Uzbekistan pada 9 Oktober nanti.

Namun, tindakan kelabnya yang menurunkan Cools pada 10 minit terakhir perlawanan menerima pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong negara yang mempersoalkan adakah pemain itu benar-benar cedera atau tidak.

Artikel Berkaitan:

"Memang kita sudah muktamadkan dan tidak akan panggil Dion Cools. Tempoh sekarang adalah sebahagian daripada proses recovery dia bersama kelab tersebut. Pada masa depan, apabila dia telah pulih kita akan dapat khidmatnya," ujarnya.

Dalam pada itu, Cools turut tampil menjelaskan perkara sebenar berkenaan statusnya ketika ini yang masih dalam proses pemulihan.

"Saya mengalami kecederaan serius dan tidak merasa cergas 100 peratus. Kelab dan saya bersetuju untuk menggunakan waktu rehat ini sebagai tempoh untuk kembali cergas.

"Jadi saya tidak dapat bermain dua perlawanan (persahabatan) dengan pasukan kebangsaan. Saya harap semua orang memahami dan menghormati keputusan saya," katanya di laman Story Instagram miliknya.