Sabah dalam landasan trend pelandaian kes Covid-19

Sabah kini berada dalam landasan untuk trend pelandaian kes Covid-19 apabila analisis data menunjukkan terdapat penurunan kes baharu direkodkan sejak minggu lepas. - Gambar hiasan
Sabah kini berada dalam landasan untuk trend pelandaian kes Covid-19 apabila analisis data menunjukkan terdapat penurunan kes baharu direkodkan sejak minggu lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Sabah kini berada dalam landasan untuk trend pelandaian kes Covid-19 apabila analisis data menunjukkan terdapat penurunan kes baharu direkodkan sejak minggu lepas, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata, penurunan kes terus berlaku pada hari ini dengan 677 kes, iaitu jumlah kes baharu terendah direkodkan sejak 24 Julai lepas.

“Penurunan secara keseluruhan dicatatkan hari ini menunjukkan prestasi yang baik. Sebanyak 21 daerah mencatatkan penurunan kes dan hanya lima daerah mencatatkan peningkatan kes, manakala satu daerah iaitu Kudat kekal dengan catatan kes seperti direkodkan pada Ahad (33 kes).

“Hanya tiga daerah mencatatkan kes di atas paras 50 kes iaitu Kinabatangan (107 kes); Kota Kinabalu (94 kes) dan Keningau (78 kes),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Bagaimanapun, Masidi berkata, orang ramai sekali lagi diingatkan bahawa faktor utama kenaikan atau penurunan graf jangkitan kes baharu adalah bergantung kepada sikap.

Beliau berkata, pematuhan secara menyeluruh terhadap semua prosedur operasi standard dan amalan baik penjagaan kesihatan diri merupakan antara kunci utama bagi mengelak jangkitan virus Covid-19.

Sementara itu, Masidi berkata, Sabah merekodkan dua kluster baharu di Kinabatangan melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja iaitu Kluster Sungai Tabulion dan Kluster Sandau Sawit, sekali gus menjadi punca peningkatan drastik jumlah kes baharu di daerah tersebut.

“Dua kluster ini menyumbang 82.2 peratus daripada kes yang direkodkan di Kinabatangan hari ini,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: