Sewa lesen kepada warga asing, peniaga bakal disenarai hitam

NG SZE HAN
NG SZE HAN
A
A
A

PUCHONG - Peniaga tempatan di negeri ini bakal berdepan digantung lesen perniagaan sekiranya didapati menyewa lesen mereka kepada warga asing.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini tidak pernah mengeluarkan lesen perniagaan kepada warga asing.

Menurutnya, pihaknya menerima aduan terdapat warga asing menjalankan perniagaan di pasar malam dan juga pasar pagi.

“Saya dah dapatkan kepastian semua PBT di Selangor tak pernah keluarkan lesen penjaja kepada warga asing.

“Berkemungkinan lesen diberi kepada warga tempatan tetapi disewa kepada warga asing untuk jalankan perniagaan,” katanya.

Sze Han berkata, tindakan akan diambil tidak lama lagi dan PBT akan mengambil tindakan penguatkuasaan kepada warga asing yang berniaga di pasar malam dan pasar pagi.

“Kepada pemilik lesen warga tempatan jika dapati mereka sewa lesen diperoleh, nama mereka akan disenaraihitam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sze Han berkata, kerajaan negeri akan mengenakan caj tambang bas kepada warga asing yang menggunakan kemudahan Bas Smart Selangor selewat-lewatnya tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga ADUN Kinrara berkata, keputusan itu diambil selepas menerima banyak aduan berhubung peningkatan jumlah warga asing yang menggunakan kemudahan percuma itu.

Bagaimanapun, caj dan mekanisme pelaksanaan masih dalam peringkat perbincangan pihaknya bersama pihak terlibat.

“Kita terima banyak aduan daripada warga Selangor mengatakan semakin ramai warga asing guna bas ini namun bukan di semua laluan. Warga asing ni guna bas untuk ke tempat kerja bukan untuk makan angin.

“Satu perbincangan sedang dibuat mengenai perkara ini...berapa caj, mekanisme dan bila akan dilaksanakan masih belum diputuskan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari ketika Majlis Pelancaran Bas Smart Selangor Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Laluan Baru KJ04 dan KJ05 di Kompleks Perhentian Kajang Jumaat lalu memaklumkan caj tambang kepada warga asing yang menggunakan kaedah itu selari dengan dasar subsidi bersasar khusus kepada rakyat tempatan.

Ia juga sebagai merealisasi hasrat kerajaan negeri mencapai sasaran 60 peratus pengguna jalan raya menggunakan pengangkutan awam berbanding 40 peratus menggunakan kenderaan persendirian menjelang 2025 hingga 2030.