UMK bantu dua pelajar B40 daftar sambung pengajian

Pihak UMK menyampaikan bakul makanan kepada dua remaja berkenaan di kediaman mereka masing-masing.
Pihak UMK menyampaikan bakul makanan kepada dua remaja berkenaan di kediaman mereka masing-masing.
A
A
A

PASIR MAS - Hasrat dua pelajar dari keluarga B40 untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah mendapat perhatian Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Profesor Dr Razli Che Razak berkata, jurusan berkenaan adalah di bawah Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW).

Beliau berkata, kedua-dua pelajar iaitu Mohamad Zil Alif Alias, 19, dan Mohamad Firdaus Zamzu,19, akan memulakan pengajian bagi sesi September 2021-2022.

"Melalui inisiatif dan keprihatinan pihak UMK, kedua-dua pelajar ini berjaya mendaftar secara dalam talian pada hari pendaftaran yang dibuka pada 2 Oktober lalu.

"Kedua-dua mereka telah mendaftarkan diri dengan bayaran yuran dengan kadar minimum untuk melanjutkan pengajian bersama-sama pelajar baharu pasca siswazah yang berjaya menerima tawaran memasuki UMK.

"Inisiatif ini adalah selaras dengan misi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang sentiasa prihatin dengan kebajikan pelajar khususnya daripada golongan B40," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Razli sebelum itu menyampaikan sumbangan wang tunai dan Bakul Kasih UMK kepada kedua-dua keluarga pelajar tersebut.

Beliau turut menyerahkan baju rasmi program Minggu Mesra Mahasiswa (3M) kepada Mohd Zil Alif dan Mohamad Firdaus.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Zil Alif dan Mohamad Firdaus merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim II dan mengalami masalah kewangan selain terpaksa menangguhkan pengajian.

Mohamad Firdaus tidak dapat menyambung pelajaran kerana masalah kewangan berikutan bapanya yang bekerja sebagai tukang rumah tidak dapat bekerja disebabkan pandemik Covid 19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dengan pendapatan yang tidak seberapa menyebabkan keluarganya tidak mampu untuk membayar yuran pendaftaran, malah bapa juga terpaksa menyara adik-beradiknya yang masih bersekolah, termasuk seorang adik kurang upaya (OKU).

Zil Alif dari Kampung Lubuk Kawah, Pasir juga berdepan dengan masalah sama kerana keluarganya hanya bergantung kepada pendapatan tidak seberapa daripada bengkel kimpalan besi.

Keluarganya juga terpaksa menyara lagi lima orang adik-beradik yang masih bersekolah.