Wisma Putra terus perkasa hubungan diplomasi

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Luar (Wisma Putra) akan terus memperkasakan hubungan diplomasi serta bekerjasama dengan komuniti antarabangsa bagi memperjuangkan diplomasi kesihatan, kesaksamaan dalam pemerolehan vaksin serta merancakkan semula ekonomi pasca pandemik, kata Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah.

Menerusi satu kenyataan pada Isnin sempena 30 hari pertama berkhidmat di kementerian, beliau berkata, Wisma Putra juga akan meneruskan pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk pencalonan Malaysia ke Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi tempoh 2022-2024.

Dalam menjayakan misi 'kabinet berorientasikan hasil' dalam tempoh 100 hari pertama seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Saifuddin berkata, beberapa inisiatif telah dilaksanakan dalam tempoh 30 hari.

Ini termasuk menyiapkan draf Kerangka Dasar Luar yang memberi tumpuan kepada isu-isu serta cabaran semasa di peringkat antarabangsa.

“Sebaik kerangka itu dimuktamadkan, seterusnya ia akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Hal Ehwal Antarabangsa Parlimen dalam masa terdekat,” katanya.

Saifuddin berkata, untuk meningkatkan dasar luar Malaysia, kementerian turut menubuhkan Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri yang dianggotai 17 ahli daripada pelbagai latar belakang termasuk wakil kerajaan, ahli korporat serta pemimpin masyarakat.

“Majlis ini telah bersidang sebanyak dua kali. Wisma Putra juga telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Dewan bagi menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Hal Ehwal Antarabangsa di Parlimen,” katanya.

Saifuddin berkata, hubungan bilateral serta multilateral turut diperkukuh melalui perbincangan bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Menteri-Menteri Luar Australia, Brunei, China, Indonesia, Qatar, Singapura, Thailand, Turki, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), serta perjumpaan bersama semua duta negara-negara ASEAN, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Pakistan, dan semua negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.

Artikel Berkaitan:

“Menterjemahkan visi Perdana Menteri dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung PBB ke-76 pada 25 September 2021 yang bertema ‘Keluarga Dunia’ dalam menyeru masyarakat antarabangsa untuk merapatkan jurang antara negara serta bekerjasama dengan lebih erat dalam fasa pasca pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, Wisma Putra turut mengukuhkan kerjasama antarabangsa dalam Diplomasi Kesihatan bagi memerangi pandemik Covid-19.

“Ini dibuktikan daripada sumbangan peralatan perubatan oleh Malaysia kepada Indonesia serta satu juta lagi sumbangan dos vaksin Sinovac dari China yang bakal diterima tidak lama lagi.

“Malaysia turut menghargai sumbangan vaksin dari negara-negara lain yang telah diberikan sebelum ini,” katanya.

Saifuddin berkata, kementerian turut mengutamakan kebajikan rakyat Afghanistan di tengah-tengah krisis yang berterusan.

Seorang Penasihat Khas berkaitan Hal Ehwal Afghanistan telah dilantik untuk memastikan Malaysia terus memberikan perhatian mengenai bantuan kemanusiaan kepada rakyat di negara itu.

“Bagi menggerakkan misi kemanusiaan di Afghanistan, Malaysia bakal menyumbang sejumlah AS$100,000 melalui PBB. Ini membuktikan komitmen Malaysia dalam memastikan keamanan dan kestabilan di Asia Barat, khususnya Afghanistan,” tambah beliau.

Beliau juga telah merasmikan Persidangan Kuala Lumpur mengenai Afghanistan pada 26 September 2021 yang membincangkan mengenai situasi semasa, misi kemanusiaan serta hala tuju pendamaian di negara berkenaan. - Bernama