Belanjawan MBSA 2022 turun 3.5 peratus

Zamani (tengah) optimis berlaku peningkatan 2.5 peratus atau kira-kira RM8 juta dalam kutipan cukai taksiran pada tahun hadapan.
Zamani (tengah) optimis berlaku peningkatan 2.5 peratus atau kira-kira RM8 juta dalam kutipan cukai taksiran pada tahun hadapan.
A
A
A

SHAH ALAM - Belanjawan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada tahun 2022 dianggarkan menurun sebanyak 3.5 peratus atau RM18.55 juta berbanding tahun ini berikutan terdapat pengurangan dalam perbelanjaan pengurusan dan pembangunan.

Bagaimanapun, belanjawan berkenaan masih lagi defisit hampir RM21 juta iaitu RM20,996,940 berbanding bajet yang dibentangkan sebanyak RM508.3 juta yang akan ditampung dengan rizab pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Bajet yang dibentangkan mengandungi anggaran hasil sebanyak RM487,343,180 manakala perbelanjaan bagi tahun 2022 ialah RM394,185,310 bagi belanja mengurus dan RM114,154,810 bagi belanja pembangunan.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata, beliau optimis berlaku peningkatan 2.5 peratus atau kira-kira RM8 juta dalam kutipan cukai taksiran pada tahun hadapan.

Menurutnya, perbelanjaan mengurus dianggarkan sebanyak 77.5 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan dan anggaran perbelanjaan mengurus itu berkurang sebanyak RM1.96 juta atau 0.5 peratus berbanding tahun 2021.

“Peruntukan terbesar di dalam belanja mengurus ini adalah untuk perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan yang diberikan peruntukan sebanyak RM313.44 juta atau 79.5 peratus daripada jumlah belanja mengurus meliputi perkhidmatan dan bekalan dengan peruntukan sebanyak RM180.3 juta,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, bagi pembangunan pula sebanyak RM114.1 juta dianggarkan bagi tahun 2022 iaitu menurun sebanyak 12.7 peratus atau RM16.6 juta berbanding tahun ini yang mana 53 peratus daripadanya akan digunakan untuk projek pembangunan seperti membina dan menaik taraf bangunan, infrastruktur dan lain-lain.

Menurutnya, sebanyak 46.9 peratus pula adalah bagi perkhidmatan dan bekalan dan 0.1 peratus bagi Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap.

Artikel Berkaitan:

“Anggaran hasil tahun 2022 dijangka akan berkurang sebanyak RM11,477,740 atau 2.3 peratus iaitu daripada RM498,820,920 pada tahun 2021 kepada RM487,343,180 bagi tahun 2022.

“Hasil cukai iaitu kutipan cukai taksiran dijangka meningkat dan menyumbang sebanyak RM331.18 juta atau 68 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil,” katanya.

Tambah beliau, anggaran peningkatan hasil cukai taksiran pula ialah sebanyak RM0.8 juta iaitu 2.5 peratus berbanding anggaran tahun semasa, manakala hasil bukan cukai dijangka akan menyumbang sebanyak RM146.66 juta atau 30.1 peratus daripada keseluruhan hasil.