Sabah dijangka terima pelancong, pelabur hujung bulan ini

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sabah dijangka mula menerima kedatangan pengunjung tempatan dari luar Sabah terutamanya pelancong dan pelabur secara berperingkat menjelang hujung Oktober ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ia sejajar hasrat kerajaan negeri untuk mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi di negeri berkenaan.

“Arahan kuarantin sedia ada ini pula kita akan pertimbang untuk dikurangkan atau ditiadakan,” katanya kepada Bernama di Bangunan Parlimen, di sini pada Isnin.

Kerajaan Sabah membenarkan individu lengkap vaksinasi Covid-19 memasuki Sabah untuk urusan rasmi tanpa perlu menjalani ujian saringan dan kuarantin, namun hanya untuk individu berada di negeri itu dalam tempoh tiga hari.

Bagi individu yang tidak lengkap dos vaksin yang masuk atas urusan rasmi lebih daripada tiga hari pula, mereka wajib menjalani kuarantin 10 hari di rumah dan melakukan ujian RTK-Antigen pada hari kelapan.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, fokus kerajaan negeri ketika ini adalah dari segi meningkatkan lagi kadar pemberian vaksin dalam kalangan penduduk dan pada masa sama menyelesaikan masalah berkaitan penyelarasan data vaksinasi dengan Majlis Keselamatan Negara.

“Misalnya, ramai rakyat Sabah berhijrah ke Semenanjung jadi mereka terima vaksin di sini tapi alamat masih di Sabah. Di Kinabatangan pun begitu, contoh alamat di Kinabatangan tapi ambil vaksin di Lahad Datu, Sandakan dan Tawau,” katanya.

Setakat 2 Oktober, penduduk Sabah yang menerima dos lengkap vaksin Covid-19 adalah seramai 1,815,016 dan daripada jumlah itu, seramai 65.8 peratus adalah penduduk dewasa.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini kerajaan Sabah bersetuju untuk membenarkan rentas daerah mengikut zon sebagai proses peralihan berkala daripada sekatan rentas daerah kepada rentas zon mulai Jumaat lepas.

Kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada syarat iaitu kadar vaksinasi lengkap bagi penduduk dewasa Sabah telah mencapai 60 peratus dan daerah dalam setiap zon juga mencapai nilai ambang 60 peratus penduduk dewasa lengkap divaksin. - Bernama