Difteria menjemput ajal

Mentaliti komuniti antivaksin membahayakan

Bahagian mulut terdapat selaput putih apabila terkena difteria.
Bahagian mulut terdapat selaput putih apabila terkena difteria.
A
A
A

DIFTERIA pada satu ketika dulu pernah hampir lenyap dalam 'direktori penyakit' di negara ini.

Bagaimanapun, kewujudan kumpulan antivaksin yang rata-ratanya dalam kalangan ibu bapa telah menyebabkan penyakit ini memasuki carta antara penyakit paling bahaya di Malaysia semula.

Kumpulan berfahaman songsang ini acah-acah lebih bijak daripada pakar perubatan. Namun, natijah di sebalik perlakuan itu boleh menyebabkan nyawa anak sendiri terkorban.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebelum ini pun pernah berkata, ibu bapa yang sengaja menolak vaksin boleh dianggap berdosa kerana tindakan mereka mendatangkan risiko dan bahaya kepada anak.

Pun demikian, rasanya tidak terlalu lambat untuk golongan antivaksin ini untuk mengubah fikiran lapuk mereka.

Sihat:Aktif pada kali ini akan memberi panduan secara menyeluruh tentang bagaimana mengenali simptom ini termasuk cara mencegahnya.

SI KECIL yang tidak mengerti apa-apa itu, baru berusia dua tahun sebulan. Pada peringkat awal, beliau demam. Kemudian, diikuti dengan batuk dan bengkak tonsil pada 16 Februari lalu.

Anak itu lantas dibawa ke unit kecemasan sebuah hospital di Johor Bahru, Johor dua hari selepas itu apabila beliau sudah semakin longlai. Pakar merujuknya ke unit rawatan rapi (ICU) Pediatrik untuk bantuan pernafasan serta rawatan antitoksin difteria.

Artikel Berkaitan:

Ujian pengesanan ke atas sampel calitan tekak kes menunjukkan kehadiran bakteria corynebacterium diphtheriae.

Pihak hospital kemudian membuat pendedahan yang meremukkan hati ramai pihak. Ujian (pengesahan) toksin difteria yang diterima adalah positif!

Sesungguhnya, kanak-kanak yang tidak berdosa itu tidak dapat diselamatkan. Akhirnya, anak syurga itu meninggal dunia pada 21 Februari lalu disebabkan difteria teruk dengan kegagalan multiorgan.

Kejadian baharu itu memang menggemparkan negara. Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan (KKM) hingga 2 Mac lalu, kes difteria melanda susulan kes di atas melibatkan:

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun yang juga kakak kepada kes kematian (seperti yang diceritakan tadi)

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun yang tinggal di rumah yang sama dengan kes kematian; dan

Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang tinggal di rumah yang sama dengan kes kematian.

Kesemua kes rantaian di atas telah menerima rawatan di hospital dan dalam keadaan stabil dengan satu kes telah dibenarkan pulang.

Tiada imunisasi

Yang pasti, berdasarkan kronologi kes kanak-kanak di Johor Bahru itu, dapat disimpulkan bahawa betapa bakteria 'jahat' ini amat mudah merebak. Lebih menakutkan, ia boleh meragut nyawa hanya dalam tempoh singkat!

Penulis ingin tegaskan di sini, kes akibat difteria ini bukanlah kejadian baharu berlaku.

Isu ini telah tercetus sejak beberapa tahun lalu. Namun, bak kata pepatah, ibarat air pasang surut, bila terhantuk baru nak tengadah.

KKM menyimpulkan, kes yang berlaku di negeri selatan tanah air itu perlu diambil perhatian serius. Ini kerana kesemua kanak-kanak yang telah menjadi mangsa adalah terdiri daripada mereka yang tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir!

Jangkitan difteria sangat berbahaya tanpa suntikan vaksin.
Jangkitan difteria sangat berbahaya tanpa suntikan vaksin.

Mengikut sejarah, difteria sebenarnya adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria corynebacterium diphteriae yang menjangkiti tekak (menghasilkan toksin) yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak.

Ia boleh mengakibatkan kesukaran bernafas sehingga boleh menjemput kematian.

Ia amatlah mudah merebak. Bayangkan, hanya melalui cecair pernafasan sama ada bersin atau batuk, zarah itu senang sangat berpindah kepada individu lain.

Penangannya bukan setakat di situ. Jika pembawa jangkitan difteria pernah berada di sesuatu kawasan dan anak anda secara kebetulan berada di situ, potensi untuk berjangkit juga tinggi.

Fakta seterusnya ini juga mengerikan. Bakteria yang dibawa pesakit juga mampu disebarkan pada permukaan objek bukan hidup dan kemudian menjangkiti manusia yang menyentuhnya.

Barang-barang seperti pakaian, tempat tidur atau mainan yang bersentuhan dengan seseorang yang mempunyai difteria juga perlu dihindarkan.

Mereka yang mempunyai difteria boleh berjangkit sehingga 4 minggu atau kadang-kadang lebih lama. Dek masih kurang daya ketahanan diri, kebiasaannya golongan mudah terkena jangkitan adalah anak kecil.

Namun apabila wabak difteria mempunyai kaitan rapat dengan tonsil, wajarlah Sihat:Aktif mendapatkan pandangan doktor Otorinolaringologi Telinga, Hidung & Tekak, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Ezairy M Sallih untuk mengulas lebih lanjut.

Dr Ezairy
Dr Ezairy

Kenali simptom

Dr Ezairy berkata, beliau tidak menolak punca utama jangkitan penyakit ini adalah melalui titisan pernafasan pesakit. Malah, beliau amat bersetuju difteria mudah dijangkiti kepada mereka yang tiada perlindungan vaksinasi atau imunisasi.

Pakar itu juga tidak menafikan lima lagi kanak-kanak disyaki positif jangkitan difteria yang ditahan di wad isolasi pediatrik di Johor Bahru sebelum ini adalah berita yang amat menggusarkan.

"Jangan pandang remeh dengan sakit tekak ya, apatah lagi apabila ia terkena pada anak kecil," katanya ketika diwawancara baru-baru ini.

Beliau menyambung, jangkitan difteria ini memang sangat berbahaya.

"Ini kerana selaput putih yang terbentuk pada tekak dan farinks pesakit boleh akibatkan pesakit alami kesukaran bernafas. Ia juga boleh sebabkan pembengkakan pada leher. Toksin yang menyerap ke seluruh tubuh boleh merosakkan organ lain seperti jantung," jelasnya.

Toksin

Menurut Dr Ezairy lagi, walaupun pesakit mendapat rawatan perubatan penuh daripada pakar, kematian boleh mencecah sehingga 1 dalam 10 orang!

"Sekali lagi saya kata, difteria memang berbahaya kerana bakteria yang menyebabkan penyakit ini menghasilkan toksin yang kuat (racun). Toksin ini akan membunuh sel-sel di dalam mulut, hidung dan tekak.

"Sel-sel mati dengan cepat terbina, terkumpul dan membentuk membran yang boleh melekat pada tekak dan menyebabkan kematian akibat tersedak.

"Difteria juga boleh menyebabkan kegagalan jantung dan kematian dan saraf (menyebabkan kerosakan neurologi termasuk kelemahan dan kebas kelamin anggota)," jelasnya.

Sesungguhnya, pakar ini menegaskan, jangkitan ini boleh dielakkan dengan suntikan vaksin atau imunisasi.

Bersetuju dengan kenyataan Dr Ezary ialah Pakar Perubatan Keluarga, Jabatan Kemalangan & Kecemasan, Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Marieanne Sundram.

Dr Marieanne juga berpendapat, imunisasi mempunyai kesan sebanyak 97 peratus (keefektifan) dalam mengawal penyakit difteria jika vaksin diambil menurut jadual yang ditentukan.

"Benar, dengan imunisasi seseorang itu sukar mendapat difteria kerana badan telah membentuk antibodi yang dapat melawan penyakit tersebut.

"Difteria berjangkit melalui respiratory droplet iaitu rembesan yang terjadi apabila kita batuk atau bersin. Biarpun jarak yang selamat adalah lebih dari semeter, namun ia bukan jaminan," katanya.

Dr Marieanne sedar, bahawa masyarakat terkeliru antara difteria dan sakit tonsil.

Dr Marieanne
Dr Marieanne

Maka, jelasnya, difteria adalah disebabkan oleh bakteria corynebacterium diphteriae dengan gejala sama disebutkan oleh Dr Ezairy yang mana kesannya boleh memudaratkan pesakit hingga boleh membawa maut.

Manakala penyakit tonsil biasa boleh disebabkan oleh virus atau bakteria. Penyakit ini boleh sembuh dengan pengubatan spesifik. Penyakit tonsil biasanya tidak akan membentuk selaput yang dapat menutup saluran pernafasan.

Kepada golongan antivaksin yang ingin kembali ke pangkal jalan atau tercicir suntikan, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan agar mereka masih boleh mendapatkan perkhidmatan imunisasi di mana-mana fasiliti kesihatan terdekat.

Kanak-kanak Malaysia wajib ikut imunisasi kebangsaan

ANTARA alasan konvesional yang kita dengar mengapa ada pihak khuatir untuk mengambil suntikan imunisasi ialah kerana bimbangkan status kandungannya.

Namun Persatuan Doktor Islam Malaysia (Perdim) sendiri menggesa agar suntikan vaksin imunisasi ini diwajibkan sebelum kanak-kanak menyertai alam persekolahan.

Presidennya, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, sudah sampai masanya suntikan vaksin imunisasi ini diwajibkan kerana ia sudah membabitkan kematian dan boleh menjadi epidemik jika tidak ditangani dengan baik.

"Suntikan vaksin imunisasi ini perlu bersifat mandatori. Ia sudah membabitkan kematian dan ia perkara serius kerana penyakit seperti difteria, boleh berjangkit jika tersebar,” katanya kepada Bernama sebagai mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar turut menyokong penuh cadangan Dzulkefly bagi mewajibkan pengambilan imunisasi untuk kanak-kanak di Malaysia.

Menurutnya, program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP) Malaysia telah memberi perlindungan terhadap 12 jenis penyakit secara percuma kepada bayi dan kanak-kanak di klinik kerajaan termasuk difteria.

"Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan banyak lagi pertubuhan dan agensi kesihatan seluruh dunia, imunisasi adalah antara cara paling efektif untuk mengelak jangkitan penyakit berjangkit dan membantu mengurangkan antara dua hingga tiga juta kematian setahun.

"Dan di Malaysia, kejadian penyakit dan kematian akibat penyakit-penyakit tersebut semakin terkawal dan berkurangan," katanya.

Statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan kes Demam Campak meningkat dari tahun 2013 iaitu sebanyak 195 kes dengan 125 kes kerana tiada imunisasi.

Pada tahun lalu pula, 1,934 kes (dengan 1,467 kes tidak mendapatkan imunisasi).

Dr Zainal Ariffin berkata, beberapa negara ASEAN seperti Filipina, Indonesia dan Brunei telah pun mewajibkan imunisasi terhadap kanak-kanak buat beberapa penyakit tertentu di negara masing-masing.

Menurutnya, bagi mendapat faedah yang berkesan dalam mengurangkan penyakit-penyakit tersebut, liputan kanak-kanak yang mendapat imunisasi lengkap mestilah pada paras melebihi 80 peratus.

"Jika tidak, penyakit ini akan memberi risiko tinggi kepada golongan tertentu yang rentan seperti kanak-kanak di bawah umur imunisasi, golongan yang mempunyai penyakit kronik yang sedang menjalani rawatan kimoterapi dan golongan warga emas," ujar beliau lagi. -AG

ANEKDOT

Bagaimana untuk mengenalpasti simptom difteria jika gejala ini melanda pada ahli keluarga anda? Demikian nasihat Dr Ezairy:

i. Sakit pada tekak.

ii. Kesukaran untuk menelan makanan dan minuman.

iii. Selaput putih atau kelabu boleh dilihat pada kawasan tekak dan sekitarnya.

iv. Disertai gejala seperti demam, lesu dan tidak sedap badan.

v. Bengkak pada kelenjar leher.

Kes difteria di Malaysia:

Februari 2019

Satu kes difteria melibatkan kematian kanak-kanak lelaki 2 tahun 1 bulan di Johor Bahru.

15 Oktober 2018

Satu kes kematian disyaki akibat jangkitan difteria di Johor Bahru melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 bulan. Pesakit tidak pernah menerima sebarang imunisasi difteria.

14 Mac 2018

Satu kes kematian disyaki difteria di Miri, Sarawak membabitkan kanak-kanak berumur 2 tahun 5 bulan dan tidak mendapat pelalian bagi difteria sejak lahir.

- Pada tahun 2018, sebanyak 18 kes dengan lima kematian dilaporkan di Malaysia dan empat daripada lima kematian ini tidak menerima imunisasi.

- Sepanjang tahun 2017 pula, 32 kes positif difteria telah dilaporkan di seluruh Malaysia dengan 7 kematian (22 peratus). Kematian yang dicatatkan ini adalah daripada komuniti yang menolak pelalian.