Najib akan fail permohonan gantung prosiding kes saman SRC

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk menggantung prosiding saman sivil SRC International Sdn Bhd terhadap beliau atas dakwaan melakukan pecah amanah jenayah dan melanggar kewajipan statutori berhubung pinjaman RM4 bilion Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kepada SRC.

Peguam bekas Perdana Menteri itu, Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata, ini kerana anak guamnya mahu kes jenayah membabitkan SRC yang kini di peringkat rayuan diselesaikan terlebih dahulu sebelum prosiding saman sivil diteruskan.

“Kami memaklumkan mahkamah bahawa kami akan mengemukakan permohonan untuk menggantung prosiding saman sivil sehingga pelupusan kes jenayah.

“Mahkamah telah menetapkan 4 November untuk pengurusan kes selanjutnya,” kata beliau kepada Bernama selepas prosiding pengurusan kes pada Isnin yang dikendalikan secara dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana SRC.

Pada 7 Mei lepas, SRC di bawah pengurusan baharu telah memulakan tindakan perundangan terhadap Najib dan beberapa bekas pengarahnya iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

SRC, yang juga anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selaku plaintif, dalam writ saman mendakwa kesemua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah.

Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

SRC, yang kini milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), memohon deklarasi bahawa semua defendan adalah bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman itu selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama