PH akan hantar surat kepada TYT Melaka

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA - Gabungan Pakatan Harapan (PH) negeri Melaka akan menghantar surat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bagi memaklumkan bahawa kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sudah hilang majoriti.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, ia susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri itu berkuatkuasa semalam.

Empat ADUN terbabit ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

"Selaras dengan peruntukan Perkara 7(4) Perlembagaan Negeri Melaka iaitu 'Jika Ketua Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN, Ketua Menteri hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat, melainkan jika atas permintaan Yang di-Pertua Negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri.

"Saya mewakili ADUN PH manakala Datuk Seri Idris mewakili empat ADUN berhasrat mengadakan pertemuan dengan Tun bagi membincangkan usaha yang boleh diambil bagi memastikan kestabilan politik negeri serta kesinambungan pentadbiran kerajaan dapat diteruskan.

"Keutamaan PH pada masa ini ialah memastikan kestabilan politik negeri ini dan pentadbiran yang cekap, bertanggungjawab serta telus dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Ketika ditanya mengenai senarai nama calon bakal Ketua Menteri daripada PH, Adly berkata, pihaknya akan berjumpa dan mengadakan perbincangan bersama Tun Mohd Ali sebelum tindakan lanjut.

"Kalau kita lihat Perlembagaan negeri, kuasa melantik (Ketua Menteri) dalam bidang kuasa Tun, jadi kita akan bertemu dahulu dengan Tun bagi berbincang demi kebaikan negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Idris yang mewakili keempat-empat ADUN itu berkata, mereka telah menghantar surat menarik sokongan itu kepada pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri, Ayer Keroh.

Idris berkata, penarikan sokongan itu berikutan ketidakyakinan mereka terhadap beberapa keputusan kerajaan negeri yang 'flip-flop' serta tidak dilaksanakan dengan sempurna.

ARTIKEL BERKAITAN:Melaka bakal bertukar tangan?

ARTIKEL BERKAITAN:Politik Melaka: Dua wakil rakyat kerajaan didakwa buat pusingan U

ARTIKEL BERKAITAN:4 ADUN Melaka umum hilang percaya terhadap Ketua Menteri

ARTIKEL BERKAITAN:PH dakwa kerajaan negeri Melaka hilang majoriti