Aset nelayan asing bernilai RM700 juta dirampas

Mohd Zubil (kiri) bersama Syed Nor Adli mengadakan lawatan ke Pusat Tahanan Vesel Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh pada Isnin.
Mohd Zubil (kiri) bersama Syed Nor Adli mengadakan lawatan ke Pusat Tahanan Vesel Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh pada Isnin.
A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah merekodkan rampasan aset nelayan milik nelayan asing bernilai RM700 juta yang digunakan untuk 'merompak' hasil laut negara sejak 2019 hingga September tahun ini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, nilai rampasan itu merangkumi nilai bot, lelongan hasil tangkapan, denda serta kompaun yang dilakukan menerusi Op Naga dan Kuda Laut di seluruh negara.

"Menurusi Op Naga kita telah merampas 303 buah bot dengan nilai rampasan keseluruhan termasuk bot dan hasil lelongan berjumlah RM445 juta," katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke Pusat Tahanan Vesel Maritim Malaysia Kelantan, di sini pada Isnin.

Hadir sama Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman.

Menurutnya, melalui Op Naga itu seramai 2,000 orang kru ditahan yang terdiri daripada nelayan asing Vietnam dan Indonesia.

Beliau berkata, bagi Op Kuda Laut pula sebanyak 149 buah bot yang telah ditahan melibatkan 1,516 kru nelayan asing.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan itu berjumlah RM224 juta.

"Sejak penubuhan Maritim Malaysia, saya jangkakan sudah berbilion nilai rampasan melibatkan nelayan asing ini telah dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang boleh saya rumuskan 90 peratus bot menceroboh masuk ke negara ini adalah milik nelayan Vietnam," katanya.

Mohd Zubil berkata, Maritim Malaysia mahu golongan nelayan memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat sekiranya melihat pencerobohan nelayan asing.

Katanya, penyaluran maklumat ini penting dalam usaha membendung kemasukan nelayan asing ini.