Perkasa Ops Benteng Covid-19 bantu kawal pandemik

Mazlan (tengah) ketika melawat Markas Taktikal PGA Sungai Koris, Batu Pahat pada Isnin.
Mazlan (tengah) ketika melawat Markas Taktikal PGA Sungai Koris, Batu Pahat pada Isnin.
A
A
A

BATU PAHAT - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mengukuhkan kawalan pada Ops Benteng Covid-19 sebagai jaminan tambahan untuk terus mengekang penularan Covid-19.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, usaha itu juga sebagai langkah strategik bagi mengurangkan jangkitan wabak daripada kes-kes membabitkan jenayah sempadan.

“Ops Benteng ini kita telah jalankan lama, cuma ketika ini kita perkasakannya menerusi Ops Benteng Covid-19. Sekarang ini, kawalan ketat di sempadan membabitkan kes pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana kita tidak mahu penyakit itu datang sekali.

“Operasi ini menjadi tanggungjawab polis terutama bagi Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditugaskan untuk menjaga perairan sempadan negara,” katanya pada sidang akhbar ketika lawatan kerja di Markas Taktikal PGA Sungai Koris, di sini pada Isnin.

Mazlan berkata, setakat September tahun ini, PGA di seluruh negara merekodkan sebanyak RM177,286,253 nilai rampasan yang melibatkan pelbagai jenayah sempadan seperti jenayah penyeludupan dadah, aktiviti kontraban dan penyeludupan PATI.

“Dalam operasi sama yang melibatkan Batalion 5 dan Batalion 6 (Selangor dan Johor) jumlah nilai rampasan adalah sebanyak RM69,584,154,” katanya.

Sementara itu, katanya, berdasarkan statistik sepanjang tempoh sama, seramai 273 suspek membabitkan pelbagai kes jenayah sempadan ditahan di Johor.

“Jumlah ini melibatkan seramai 107 warga tempatan dan 166 warga asing yang majoritinya adalah dari Indonesia.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini, kita melihat kekuatan anggota mencukupi. Kita ada seramai 253 pegawai dan anggota PGA Batalion 5 dan 6 ditugaskan di 22 pos kawalan sempadan perairan negara melibatkan jajaran Selangor dan Johor,” katanya.