Baucar RM1.5 juta kepada pelancong domestik

Hasni (empat dari kiri) menyampaikan Anugerah Pelancongan Johor 20/21 Kelab Bola Sepak Johor kepada Mohd Farizal Marlias pada Majlis Pelancaran Johor Tourism Interchange (JTI) di Menara JLand, Johor Bahru pada Isnin.
Hasni (empat dari kiri) menyampaikan Anugerah Pelancongan Johor 20/21 Kelab Bola Sepak Johor kepada Mohd Farizal Marlias pada Majlis Pelancaran Johor Tourism Interchange (JTI) di Menara JLand, Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menawarkan pemberian baucar bernilai RM1.5 juta kepada pelancong domestik sebagai inisiatif memacu semula industri pelancongan di negeri ini selepas peralihan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 24 September lalu.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, baucar terbabit ditawarkan dalam bentuk potongan harga bagi produk-produk pelancongan menerusi program yang dianjurkan termasuk Virtual Majestic Johor Tourism Week 2021.

Beliau berkata, semua pelancong akan memperoleh baucar berkenaan melalui aplikasi Johor Tourism Interchange (JTI) mulai 10 Oktober ini.

"Kerajaan negeri bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta dalam bentuk baucar kepada pelancong domestik sebagai galakan kepada pertumbuhan sektor pelancongan tempatan.

"Pelbagai program pelancongan baharu dan sedia ada akan terus dilaksanakan. Namun apa yang lebih penting ialah kesiapsiagaan sektor pelancongan Johor pada tahun hadapan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran JTI dan Virtual Majestic Johor Week di Menara JLand di sini pada Isnin.

JTI merupakan satu portal digital pelancongan dibangunkan dengan menggunakan elemen teknologi revolusi perindustrian ke-4 (4IR) membabitkan seramai 1,000 pengusaha pelancongan di negeri ini yang telah berdaftar menerusi aplikasi berkenaan.

Sementara itu, Hasni berkata, struktur Tourism Johor yang merupakan agensi di bawah kerajaan negeri akan diteliti semula agar peranannya lebih berkesan dalam membantu perkembangan sektor pelancongan di negeri ini terutama ketika mendepani pandemik Covid-19.

"Peranan Tourism Johor perlu ke hadapan untuk meletakkan sektor pelancongan di sini sejajar dengan potensi yang ada. Selain itu satu jaminan keselamatan juga perlu diberikan kepada pelancong apabila berada di lokasi pelancongan.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu Tourism Johor perlu bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam menyediakan lebih banyak kemudahan yang penting bagi menjamin keselamatan pelancong," ujarnya.

Mengenai Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), Hasni berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju untuk memasukkan projek pelebaran lebuh raya dari Yong Peng ke Johor Bahru sebagai salah satu program pembangunan infrastruktur dalam RMK12.