Guna lori baja bawa 400,000 batang rokok seludup

Hassan Basri (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dirampas ketika sidang akhbar di Pejabat Pentadbiran Batalion 9, PGA, Gong Badak, Kuala Nerus pada Isnin.
Hassan Basri (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dirampas ketika sidang akhbar di Pejabat Pentadbiran Batalion 9, PGA, Gong Badak, Kuala Nerus pada Isnin.
A
A
A

KUALA NERUS - Tindakan seorang lelaki menjadi 'transporter' dengan menyembunyikan 400,000 batang rokok putih seludup di dalam sebuah lori baja mengundang padah apabila dia dicekup anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara, pada Sabtu.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hassan Basri Ahmad Safar berkata, pemeriksaan ke atas lori jenis Isuzu NPR yang dipandu lelaki berusia 37 tahun itu dilakukan sempena penugasan Ops Kontraban Briged Tenggara PGA yang dijalankan pada Sabtu dan Ahad.

"Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang di sebuah stesen minyak di Manik Urai, Kuala Krai, Kelantan, anggota penguat kuasa menjumpai sebanyak 40 kotak besar rokok putih yang mengandungi jumlah keseluruhan sebanyak 400,000 batang.

"Turut dirampas ialah sebuah lori jenis Isuzu NPR serta setangkai kunci lori anggaran bernilai RM 120,000; sebuah telefon bimbit jenama iPhone 11 anggaran nilaian RM 2,000; sebuah telefon bimbit jenama Oppo Reno 5 5G anggaran RM2,000 dan wang tunai RM480.

"Nilai keseluruhan rampasan lain ialah RM124,480, " katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pentadbiran Batalion 9, PGA, Gong Badak di sini pada Isnin.

Hassan Basri berkata, semakan mendapati suspek bekerja sebagai pemandu lori di syarikat baja itu dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau iaitu dua atas kesalahan memiliki barang terlarang dadah dan satu kes melibatkan kecurian motosikal.

"Siasatan mendapati suspek bertindak sebagai 'transporter' yang dibayar upah lebih kurang RM500 dan telah diarahkan untuk membawa barangan tersebut dari Wakaf Bharu ke Gua Musang, Kelantan.

"Berdasarkan semakan, lori itu sepatutnya digunakan untuk membawa barangan syarikat iaitu baja tetapi digunakan untuk tujuan membawa barangan salah yang dipercayai diperoleh dari negara jiran dan dibawa masuk melalui jalan laut atau sungai untuk pasaran sekitar Gua Musang, Kelantan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan masih dijalankan bagi memastikan sama ada suspek disalahgunakan oleh syarikat tersebut atau dia yang menyalahgunakan nama syarikatnya bagi menjalankan aktiviti haram ini tanpa pengetahuan pemilik syarikatnya," ujarnya.

Beliau berkata, suspek kini direman sehingga 6 Oktober untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 167.