X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Naik taraf Seri Perdana: Tak masuk akal kaitkan Najib

Ahmad Zahid
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kelulusan projek menaik taraf Kompleks Seri Perdana dianggap tidak masuk akal.

Menurut Ahmad Zahid, dakwaan tersebut dilihat sebagai satu strategi untuk memesongkan perhatian rakyat memandangkan projek tersebut diluluskan pada pentadbiran Muhyiddin ketika negara berdepan krisis Covid-19.

“Tidak masuk akal untuk Presiden Bersatu cuba mengaitkan Perdana Menteri keenam dengan kelulusan projek RM38.5 juta menaik taraf Kompleks Seri Perdana di zaman beliau sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Ia seolah-olah suatu 'diversion strategy' atau strategi untuk memesongkan perhatian rakyat daripada fakta utama yang sedang dipersoalkan secara hebat ketika ini," katanya dalam hantaran di Facebook beliau pada Isnin.

Kerajaan sebelum ini mengesahkan bahawa kerja membaik pulih Kompleks Seri Perdana membabitkan kos RM38.5 juta diluluskan pada 19 Mac 2021 sebelum kerja membaik pulih bermula pada 29 Mac 2021.

Menurut Muhyiddin, kediaman rasmi Perdana Menteri akan rosak lebih teruk jika tidak dibaik pulih selain menyatakan ia membabitkan kebocoran, sistem pencahayaan yang sudah lama dan keadaan fizikal lantai serta bumbung rosak atau usang.

Dalam hantaran sama, Ahi Parlimen Bagan Datuk itu turut mempersoalkan penggunaan wang negara bagi menggantikan perabot di kediaman tersebut memandangkan kebanyakan aset milik peribadi Najib sudah dipindah keluar.

“Kini persoalan baharu yang perlu dijawab Muhyiddin ialah mengapa beliau menggantikan perabot peribadi milikan Najib di Seri Perdana dengan menggunakan wang negara.

“Rakyat perlukan lebih bantuan, kerajaan Muhyiddin kata negara sudah tiada wang. Berbelanja untuk perabot kediaman rasmi Perdana Menteri diluluskan dengan begitu cekap dan pantas.

“Jika Kompleks Seri Perdana sudah tidak lagi dilengkapi dengan perabot milik peribadi Najib, maka bukankah wajar ia digantikan dengan perabot peribadi milik Perdana Menteri yang seterusnya,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!