SIRIM bantu lima usahawan Pahang

Ahmad Sabirin
Ahmad Sabirin
A
A
A

KUANTAN - Lima usahawan di Pahang antara 30 usahawan mikro dan industri kecil dan sederhana (IKS) di seluruh negara yang terjejas akibat Covid-19 yang menerima bantuan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) Berhad, sejak Ogos lalu.

Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, pihaknya memperuntukkan kira-kira RM100,000 bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam bentuk latihan dan kursus kepada usahawan IKS terlibat.

Menurutnya, bantuan terbabit disediakan melalui Pusat Reka Bentuk Pembungkusan dan Percetakan Keselamatan SIRIM, SIRIM Training Sdn Bhd manakala SIRIM QAS International Sdn Bhd pula berperanan menguji kandungan nutrisi produk makanan dan minuman.

"Khidmat nasihat pula membabitkan aspek pembungkusan dan penjenamaan produk selain kaedah asas mempromosikan produk mereka melalui media sosial dan platform beli-belah dalam talian, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mengiringi Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin melawat kilang pemprosesan emas Makmur Gold di pekarangan pejabat SIRIM pada Isnin.

Turut hadir, Pengerusi Koperasi Makmur Malaysia Berhad (Ko-Makmur), Datuk Hishamuddin Abdullah dan Penasihat Keselamatan Makmur Gold, Datuk Huzir Mohamed.

Ahmad Sabirin berkata, melalui program CSR itu, Makmur Gold dijangka menjadi rakan strategik kelima dari negeri ini bermula tahun hadapan.

"Kerjasama antara SIRIM dan Makmur Gold lebih kepada pengoperasian akademi kecemerlangan emas melalui penawaran latihan kepada orang ramai terutama generasi muda yang berminat dalam penghasilan barangan kemas.

Artikel Berkaitan:

"SIRIM akan mengeluarkan sijil penarafan kualiti produk emas dihasilkan Makmur Gold dan melalui sijil ini produk barangan kemas dikeluarkan Makmur Gold dapat bersaing dengan lebih kompetitif di pasaran luar negara," katanya.