Dua warga Rohingya dijel, didenda rasuah pegawai Maritim

Noor Kalam (kiri) dan Mohd Shabo (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Isnin. Foto : SPRM KEDAH
Noor Kalam (kiri) dan Mohd Shabo (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Isnin. Foto : SPRM KEDAH
A
A
A

ALOR SETAR - Dua warga Rohingya masing-masing dihukum penjara dan denda selepas mengaku bersalah memberi rasuah sebanyak RM7,000 kepada seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada tahun lalu.

Keputusan tersebut diputuskan Hakim Harmi Thamri Mohamad Shaharudin selepas pengakuan bersalah oleh Noor Kalam Soyut Alam, 29, dan Mohd Shabo Mohd Hussin, 36, atas pertuduhan pilihan di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.

Noor Kalam dijatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 21 Julai 2020, manakala Mohd Shabo dijatuhkan hukuman penjara selama satu hari serta denda sebanyak RM10,000. Jika gagal membayar denda tersebut, Mohd Shabo boleh dipenjara selama 12 bulan.

Menurut kertas pertuduhan, Noor Kalam dengan niat bersama Mohd Shabo secara rasuah memberi wang suapan sebanyak RM7,000 kepada pegawai kanan Maritim Malaysia di Restoran Faathirah Tomyam & Seafood, Padang Mat Sirat, Langkawi kira-kira jam 1 pagi pada 21 Julai 2020.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) Rohingya yang diseludup masuk menerusi jalan laut.

Perbuatan tersebut menyalahi Akta Imigresen 1959/63 serta Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 iaitu satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua- dua tertuduh yang masing-masing bekerja sebagai buruh dan bekerja sendiri tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan pula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sew Ping.

Artikel Berkaitan: