Tiada varian Mu, Lambda dikesan di Malaysia

Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaludin Abu Bakar ketika hadir pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaludin Abu Bakar ketika hadir pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sebanyak 95 peratus atau 1,246 daripada 1,312 sampel di Malaysia yang menjalani aktiviti jujukan genom setakat ini dikenal pasti sebagai varian Delta.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, tiada varian Mu dan Lambda dikesan daripada sampel yang ada di Malaysia.

“Sehingga 30 September 2021, sejumlah 1,312 sampel telah dianalisis. Terkini, hasil analisis penjujukan 1,312 sampel menunjukkan bahawa sebanyak 1,246 (iaitu 94.9 peratus) telah dikenal pasti sebagai varian Delta.

"Sebanyak 11 sampel dikenal pasti sebagai Beta dan 55 yang lain tergolong dalam varian bukan virus yang membimbangkan (VOC), katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

“Sampel yang dipilih adalah daripada kesemua negeri termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan. Sehingga kini, tiada varian Mu dan Lambda dikesan daripada sampel-sampel di Malaysia,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) yang meminta Menteri Kesihatan memaklumkan perancangan kesiapsiagaan Kementerian bagi menangani kemunculan varian baharu Covid-19 yang membimbangkan.

Khairy menjelaskan, analisis jujukan jenom itu dijalankan secara konsortium dengan kerjasama tujuh makmal di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Katanya, konsortium tersebut akan terus memantau penularan varian virus SARS-CoV-2 di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Bagi membolehkan konsortium dapat terus menjalankan analisis penjujukan genom SARS-CoV-2, Kementerian Teknologi Sains dan Inovasi (MOSTI) turut mengumumkan tambahan dana sebanyak RM13.9 juta.

“Dana ini membolehkan kesinambungan dalam menjalankan penjujukan genom memandangkan sangat penting bagi pemantauan kemasukan varian-varian baru ke Malaysia,” katanya.