X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Indeks nilai seunit eksport, import terus catat pertumbuhan

Indeks nilai seunit eksport dan import bulanan Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan positif pada Ogos 2021, masing- masing pada 1.4 peratus dan 0.9 peratus bulan ke bulan.
A
A

KUALA LUMPUR - Indeks nilai seunit eksport dan import bulanan Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan positif pada Ogos 2021, masing- masing pada 1.4 peratus dan 0.9 peratus bulan ke bulan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan indeks nilai seunit eksport sebanyak 1.4 peratus pada Ogos 2021 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (5.3 peratus), minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (1.4 peratus) dan alat jentera kelengkapan pengangkutan (0.6 peratus).

"Sementara itu, indeks volum eksport merekodkan penurunan 3.2 peratus pada bulan yang sama berikutan kejatuhan dalam indeks minyak galian (negatif 21.1 peratus), minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (negatif 17.4 peratus) dan jentera dan kelengkapan pengangkutan (negatif 0.9 peratus), katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Uzir berkata, indeks volum eksport pelarasan bermusim meningkat 5.1 peratus daripada 137.0 mata kepada 143.9 mata.

"Berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing meningkat 16.2 peratus dan 1.9 peratus," tambah beliau.

Sementara itu, beliau berkata, indeks nilai seunit import turut menunjukkan pertumbuhan positif 0.9 peratus pada Ogos 2021 berbanding bulan sebelumnya dan peningkatan ini disumbangkan oleh pertumbuhan indeks minyak galian (7.2 peratus), minyak lemak binatang dan sayur-sayuran (1.5 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (0.3 peratus).

"Sebaliknya, indeks volum import menyusut 12.0 peratus pada Ogos 2021 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (negatif 35.7 peratus), jentera dan kelengkapan pengangkutan (negatif 6.2 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (negatif 3.3 peratus)," katanya.

Mohd Uzir berkata, indeks volum import pelarasan bermusim pada Ogos 2021 mencatatkan penurunan 11.0 peratus daripada 154.1 mata kepada 137.2 mata.

Berbanding tahun sebelum, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing meningkat 6.4 peratus dan 5.7 peratus, katanya.

Jabatan Perangkaan turut melaporkan terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 0.6 peratus bulan ke bulan kepada 105.6 mata pada Ogos 2021.

Berasaskan tahun ke tahun, prestasi terma perdagangan Malaysia kekal positif pada 9.2 peratus daripada 96.7 mata pada Ogos tahun lalu. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!