Solskjaer mampu bimbing United kembali bangkit

Solskjaer
Solskjaer
A
A
A

PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer yakin masih mampu membimbing The Red Devils untuk kembali tampil cemerlang musim ini selepas aksi turun naik dipamerkan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menurut Solskjaer, dia mengakui pasukannya perlu memperbaiki persembahan namun optimis United mampu untuk menunjukkan kecemerlangan dalam beberapa perlawanan akan datang.

"Sudah tentu saya sangat yakin kami akan mendapat rentak dan beraksi cemerlang. Banyak perkara berlaku bulan ini. Kami ada Raphael Varane, Cristiano Ronaldo dan Jadon Sancho sejak Ogos manakala Crsitiano Ronaldo pada September.

"Kami perlu bekerja dan menambah baik prestasi. Kami tahu mengenai itu namun saya percaya dengan para pemain dan staf kejurulatihan yang saya ada," katanya.

Masa depan Solskjaer di United kini berada dalam tekanan selepas aksi kurang memuaskan walaupun merekrut ramai pemain bintang seperti Sancho, Varane dan Ronaldo.

Persembahan mereka pada musim ini berada di bawah jangkaan dengan empat kemenangan dua seri dan satu kekalahan daripada tujuh perlawanan dalam aksi EPL.

Malah, pencapaian mereka dalam Liga Juara-Juara juga tidak memberangsangkan dengan turut tewas kepada pasukan kerdil, Young Boys pada perlawanan pembukaan kejohanan tersebut 15 September lalu.

"Saya percaya kepada pemain dan barisan kejurulatihan. Saya percaya kami ada sesuatu yang akan memastikan United kembali cemerlang.

Artikel Berkaitan:

"Setiap perlawanan dalam EPL dan Liga Juara-Juara adalah perlawanan besar dan menentang pasukan hebat. Sudah tentu perlawanan sebegitu akan memberikan masalah kerana kami dijangka untuk menang kesemuanya," katanya.