Perak terima pelaburan baharu 2.34 bilion

Saarani (kanan) bersama Ahmad Suaidi menyaksikan Majlis Komitmen Pelaburan Negeri Perak Bersama NCIA, di pejabatnya di Ipoh secara maya pada Isnin.
Saarani (kanan) bersama Ahmad Suaidi menyaksikan Majlis Komitmen Pelaburan Negeri Perak Bersama NCIA, di pejabatnya di Ipoh secara maya pada Isnin.
A
A
A

[DIKEMASKINI] PERAK menerima pelaburan baharu dengan nilai kumulatif berjumlah RM2.34 bilion yang akan mewujudkan 4,400 peluang pekerjaan.

Ketua Eksekutif Pihak Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, pihaknya mengalu-alukan pelaburan berimpak tinggi menerusi lima syarikat iaitu Eco Medi Glove Sdn Bhd, Onetexx Sdn Bhd, PNA Technologies Sdn Bhd, HICOM-Teck See Manufacturing (M) Sdn Bhd dan Dynacare Sdn Bhd.

Menurutnya, kesemua pelaburan yang diluluskan itu dijangka akan memacu usaha pemulihan sosioekonomi Perak.

"NCIA akan meneruskan usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi dan melaksanakan program modal insan yang holistik selaras dengan tema Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) untuk mengembalikan kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat melalui peningkatan kuasa beli rakyat, merapatkan jurang sosioekonomi dan memastikan kelangsungan hidup.

"Bagi memastikan Perak kekal stabil dalam pertumbuhan sosioekonomi, NCIA akan terus komited dalam melaksanakan program modal insan yang inklusif, holistik dan berpaksikan rakyat dalam memacu pembangunan sosioekonomi masyarakat," katanya menerusi siaran akhbar sempena Majlis Komitmen Pelaburan Negeri Perak Bersama NCIA secara maya pada Isnin.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Dalam pada itu, Jebasingam berkata, tempoh pelaburan itu mengambil masa sekitar tiga hingga tujuh tahun bergantung kepada model perniagaan pelaburan syarikat berkenaan.

NCIA telah menjalin kerjasama erat dengan kerajaan Perak untuk merancang, melaksana dan menyelaras pembangunan wilayah yang kurang membangun seperti di Kamunting, Kampung Gajah, Tanjung Malim dan Sitiawan.

Artikel Berkaitan:

Melalui pelaburan tersebut, pertumbuhan ekonomi kawasan berkenaan dapat ditingkatkan sekali gus menyumbang ke arah pemulihan ekonomi Perak.