Pelajar mahu sekolah terus dibuka

Dari Kiri : S Sivanathan,Nurul Amira dan Jia Mei
Dari Kiri : S Sivanathan,Nurul Amira dan Jia Mei
A
A
A

IPOH - Pelajar berharap sesi persekolahan secara bersemuka dapat diteruskan seperti biasa bagi memastikan mereka tidak terus ketinggalan dalam pelajaran.

Nurul Amira Rizahuddin, 19, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Michael, di sini berkata, kelas secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak memberi impak yang berkesan, sepertimana kelas secara bersemuka.

Menurutnya, pembelajaran secara bersemuka memberi lebih banyak kelebihan kerana dapat bertanya terus kepada guru untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

"Belajar secara online membuatkan saya rasa kosong sebab belajar berseorangan di dalam bilik.

Lagipun tidak seronok sebab tiada kawan-kawan dan guru.

"Saya harap, selepas ini sekolah akan terus dibuka dan diteruskan sampai bila-bila, tetapi jika terpaksa ditutup semula disebabkan Covid-19, terpaksalah kita akur demi keselamatan semua," katanya ketika ditemui sempena lawatan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negera (PPN) Fasa Dua oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid ke sekolah itu pada Isnin.

Seorang pelajar SMK St Michael, Ipoh melakukan imbasan suhu yang merupakan sebahagian SOP sebelum masuk ke kelas.
Seorang pelajar SMK St Michael, Ipoh melakukan imbasan suhu yang merupakan sebahagian SOP sebelum masuk ke kelas.

Nurul Amira yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 bulan lalu antara 108 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) SMK St Michael yang mengikuti kembali sesi pembelajaran secara bersemuka.

Artikel Berkaitan:

Bagi S Sivanathan, 19, saat untuk kembali ke sekolah amat dinantikannya selepas hampir lima bulan ditutup dan berharap, sesi kali ini tidak akan ditangguh lagi.

Dia mengakui, pembelajaran secara bersemuka membuatnya lebih yakin dan bersedia untuk menghadapi STPM yang dijadualkan Oktober depan.

"Walaupun teruja, saya sebenarnya berdebar sebab sudah lama tidak ke sekolah.

Mujur uniform sekolah masih lagi muat.

"Sebelum keluar rumah, ibu bapa banyak kali pesan untuk jaga SOP dan saya yakin, pihak sekolah, guru dan semua pelajar memahami kepentingan menjaga keselamatan diri," katanya.

Wong Jia Mei, 19, pula lega kerana dapat belajar bersemuka dengan guru dan rakan sekelas memandangkan akan menghadapi peperiksaan STPM tidak lama lagi.

"Ada sedikit perasaan bimbang, tetapi saya akan cuba patuhi SOP agar kami semua dapat belajar dengan selesa," katanya.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, pembukaan semula sekolah di negeri ini melibatkan 57 sekolah menengah dan 252 sekolah pendidikan khas integrasi.

Seramai 108 calon STPM SMK St Michael, Ipoh hadir mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka yang bermula pada Isnin.
Seramai 108 calon STPM SMK St Michael, Ipoh hadir mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka yang bermula pada Isnin.

Katanya, polis melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) melakukan pemantauan yang ketat di semua sekolah terlibat bagi memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya.

"Bagi tujuan sama, kita juga akan menggerakkan rondaan berkala menerusi pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

"Setakat ini, kita berpuas hati dengan pematuhan SOP dibuat, semasa pemantauan di kelas, kita dapati ada sistem pengudaraan yang baik, aturan duduk juga disusun mengikut penjarakan yang betul, semua pelajar dan guru menggunakan pelitup muka," katanya.