Pendakwaan serah 21 dokumen kes Siti Bainun

Siti Bainun (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin bagi menghadapi prosiding kes pengabaian kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun.
Siti Bainun (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin bagi menghadapi prosiding kes pengabaian kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan bagi kes pengabaian kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi membabitkan Pengasas Rumah Bonda di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, mengesahkan telah menyerahkan 21 dokumen kepada pihak pembelaan.

Ketika prosiding sebutan semula kes membabitkan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 29, di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias berkata, 21 dokumen itu berkaitan kes pagi Isnin.

"Namun dua lagi dokumen belum diserahkan iaitu laporan perubatan penuh dan laporan psikiatri mangsa.

"Oleh itu, pihak kami memohon tarikh sebutan baharu ditetapkan pada hujung November ini," katanya.

Sementara itu, peguam, M Yalini yang mewakili Siti Bainun mengesahkan menerima 21 dokumen terbabit dengan dua lagi dokumen belum diserahkan.

"Pihak kami tidak membantah sekiranya mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi pengurusan kes seterusnya iaitu sebelum tarikh prosiding perbicaraan ditetapkan," katanya.

Selepas mendengar perkara tersebut, mahkamah kemudian menetapkan 25 November depan untuk pengurusan kes seterusnya.

Pada 20 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan, Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Artikel Berkaitan: