X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 19 Januari 2022

Selangor benarkan akad nikah bermula hari ini

Info grafik mengenai pelaksanaan majlis akad nikah dikongsi di laman Facebook JAIS pada Ahad.
A
A

SHAH ALAM - Majlis akad nikah dibenarkan berlangsung di Selangor dengan kehadiran fizikal di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pejabat Agama Islam Daerah, bermula pada Isnin.

JAIS melalui perkongsian di Facebook rasminya memaklumkan, majlis itu boleh dilangsungkan setiap hari tetapi kehadiran masih terhad kepada pasangan pengantin dan wali sahaja, manakala individu lain tidak dibenarkan hadir termasuk jurugambar.

"Bagi yang sudah lengkap vaksinasi berdasarkan kad atau sijil digital vaksinasi, mereka perlu memenuhi kriteria iaitu melepasi 14 hari dari tarikh suntikan kedua bagi vaksin Pfizer, AstraZeneca serta Sinovac, dan melepasi 28 hari bagi vaksin Johnson & Johnson serta CanSino.

"Bagi yang belum lengkap vaksinasi pula, ujian saringan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) hanya wajib ke atas pengantin serta wali.

"Ujian saringan Covid-19 itu perlu dilakukan dalam tempoh 72 jam (tiga hari) dari waktu pelaksanaan majlis, dan keputusan ujian perlu dikemukakan kepada pendaftar sebelum majlis dilaksanakan," menurut kenyataan itu pada Ahad.

Pada 1 Julai lalu, JAIS hanya membenarkan majlis akad nikah dilangsungkan dengan kehadiran fizikal di jabatan berkenaan dan Pejabat Agama Islam Daerah.

Mengulas lanjut, JAIS berkata, pihak terbabit wajib mematuhi ketetapan semasa oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan negeri berkaitan langkah keselamatan.

"Jika terdapat pelanggaran ketetapan semasa, Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk atau Pegawai Tadbir Agama boleh menangguh atau membatalkan majlis akad nikah.

"Tindakan tegas wajar diambil jika ada mana-mana individu atau pihak didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan semasa yang ditetapkan," katanya.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi talian 03-55143400 / 03-55143600 atau e-mel: [email protected]


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!