KDN ambil serius isu judi haram

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 7,374 serbuan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi penguat kuasa lain ke atas premis yang menjalankan aktiviti judi tanpa lesen di seluruh negara mulai Januari tahun ini sehingga 31 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin berkata, daripada serbuan itu, seramai 7,765 individu telah ditangkap.

"KDN melalui PDRM mengambil perhatian yang serius terhadap isu perjudian yang berleluasa di negara ini termasuklah premis-premis perjudian dalam talian yang semakin bertambah.

"Pihak PDRM juga mengambil maklum segala pandangan yang disuarakan oleh pelbagai pihak dan akan melipatgandakan lagi usaha untuk memastikan aktiviti perjudian haram ini dapat dibendung dengan lebih berkesan.

"Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Pelan Pemulihan Negara (PPN), sektor perjudian berlesen yang dikawal oleh Kementerian Kewangan Malaysia merupakan sektor yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP atau PPN dilaksanakan," katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) berhubung jumlah serbuan yang telah dilakukan PDRM ke atas premis judi tanpa lesen sepanjang tempoh PKP dilaksanakan sehingga kini.

Tambahnya, meskipun sektor perjudian tidak dibenarkan beroperasi, namun aktiviti itu didapati tetap berjalan secara haram.

"Sindiket yang menjalankan loteri awam tanpa lesen tetap meneruskan aktiviti mereka dengan penjualan loteri awam tanpa lesen melibatkan cabutan loteri awam yang dijalankan oleh negara luar seperti Singapura, Kemboja dan China," katanya.

Artikel Berkaitan: