X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Skuad hoki remaja lelaki bermula langkah kiri di UK

Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan bermula langkah kiri apabila tewas 2-0 kepada Repton Hockey Club dalam perlawanan Siri Jelajah United Kingdom 2021 pada Ahad. - Foto Bernama
A
A

SKUAD Projek Khas Lelaki Kebangsaan bermula langkah kiri apabila tewas 2-0 kepada Repton Hockey Club dalam perlawanan Siri Jelajah United Kingdom 2021 pada Ahad.

Skuad hoki remaja negara berjaya bertahan dengan baik pada awal perlawanan namun kesilapan menghadiahkan pukulan sudut penalti kepada pasukan lawan membawa padah apabila mereka membuka tirai jaringan pada minit ke-27.

Empat minit selepas suku ketiga perlawanan bersambung, tuan rumah menggandakan jaringan kali ini hasil gerakan padang dan keputusan 0-2 itu kekal hingga tamat perlawanan.

Pengendali Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan, Wallace Tan menyifatkan perlawanan sulung dilalui anak buahnya dalam siri jelajah berkenaan adalah perlawanan yang banyak memberikan pengajaran berguna kepada barisan muda negara untuk terus memperbaiki setiap kesilapan dilakukan.

“Perlawanan pertama ini adalah satu pembelajaran yang baik untuk pasukan kerana ini juga perlawanan antarabangsa pertama dalam tempoh dua tahun ini.

“Banyak perkara masih boleh diperbaiki lagi dan banyak yang kami belajar daripada perlawanan hari ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pada Isnin.

Selepas ini, skuad remaja negara itu akan turun menentang pasukan bawah-21 England di Bisham Abbey bagi perlawanan kedua pada Rabu ini jam 11.30 malam waktu Malaysia. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!