Jawatankuasa tingkat prestasi, persediaan atlet Olimpik, Paralimpik

Datuk Seri Ti Lian Ker
Datuk Seri Ti Lian Ker
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa penilaian dan penambahbaikan Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam usaha meningkatkan prestasi atlet-atlet negara untuk masa akan datang.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, persidangan jawatankuasa itu dijangka berlangsung pada pertengahan bulan ini dan penilaian yang akan dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan semua aspek.

Menurutnya, jawatankuasa berkenaan akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk M Noor Azman Taib.

“Ia turut disertai Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Panel of Experts (KBS) serta semua pihak berkepentingan.

"Jawatankuasa ini dijangka bersidang pada pertengahan Oktober ini bagi memperhalusi kaedah, pandangan, cadangan dan maklum balas tentang prestasi kontinjen di kedua-dua temasya sebagai penambahbaikan kepada Program Khas Jangka Panjang Olimpik/Paralimpik," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Larry Sng Wei Shien (Bebas-Julau) dan Wong Kah Who (PH-Ipoh Timur) yang membangkitkan isu prestasi atlet negara pada Olimpik/Para dan persediaan untuk Sukan Olimpik dan Paralimpik edisi Paris 2024.

Lian Ker berkata, penularan Covid-19 menjadi kekangan kepada atlet untuk persiapan latihan ke temasya Olimpik kali ini.

“Penularan Covid-19 telah menyebabkan atlet negara meneruskan program latihan sepenuh masa secara kuarantin menggunakan model gelembung sukan sejak Jun 2020.

Artikel Berkaitan:

“Ia merupakan salah satu kekangan yang terpaksa diharungi oleh atlet negara untuk temasya Olimpik kali ini,” katanya.

Tambah beliau, kementeriannya akan mula melaksanakan program latihan Olimpik dan Paralimpik berasaskan kitaran edisi Sukan Olimpik dan Paralimpik supaya sumbangan atlet akan lebih terancang bagi tempoh masa lebih panjang dari kebiasaannya.