Polis Perak cadang tamat SJR antara daerah

Mior Faridalathrash
Mior Faridalathrash
A
A
A

IPOH - Polis Perak bercadang untuk menamatkan sekatan jalan raya (SJR) antara daerah selepas negeri ini mencapai kadar vaksinasi yang memuaskan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, langkah itu selari dengan kelonggaran pergerakan yang diberikan kerajaan termasuk di negeri ini yang berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurutnya, bagi tujuan itu, polis akan melakukan kajian semula sebelum mengemukakannya kepada urusetia Covid-19 Perak.

"Semuanya bergantung kepada kadar vaksinasi dan kelulusan daripada kerajaan negeri.

"Sekiranya kadar vaksinasi di Perak telah sampai ke satu tahap yang baik dan kita berpuas hati, maka kita cadangkan agar SJR antara daerah dibubarkan dan hanya mengekalkan sekatan di sempadan negeri sahaja.

"Kita akan buat cara lain seperti tubuhkan lebih banyak pasukan pemantau untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) tetap dipatuhi, tanpa perlu melalui sekatan di jalan raya," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata, pembubaran SJR yang melibatkan 15 daerah itu membolehkan anggota terlibat memberi tumpuan terhadap tugasan kepolisan yang lain terutama kawalan jenayah.

"Apabila orang ramai sudah mula boleh bergerak, bermakna penjenayah pun bergerak sama untuk lakukan kegiatan jenayah mereka.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita cuba menambah baik cara kita untuk mengawal jenayah daripada berlaku, sekali gus pastikan rakyat negeri ini kekal selamat," katanya.

Sehingga kini, polis Perak telah mendirikan sebanyak 58 SJR membabitkan sekatan antara daerah dan kawasan sempadan di lima negeri dengan penugasan pegawai dan anggota polis seramai 933 orang.