Individu tidak boleh divaksin perlu mohon sijil pengecualian vaksinasi

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

KUALA LUMPUR – [KEMASKINI] Mana-mana individu yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan perlu mendapatkan pengesahan daripada pakar perubatan berdaftar yang merawat mereka.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, individu berkenaan seterusnya boleh memohon sijil digital khas atau sijil pengecualian vaksinasi di MySejahtera melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdekatan.

“Individu tersebut perlu mengemukakan borang khas ‘Slip Penilaian Kesesuaian Menerima Vaksin Covid-19 Bagi Pesakit Dengan Masalah Kesihatan Tertentu’ yang telah disahkan oleh pakar perubatan di hospital swasta yang merawat individu tersebut.

“Pengesahan juga boleh dibuat oleh pakar perubatan atau pegawai perubatan yang merawat (semasa ketiadaan pakar perubatan) di hospital kerajaan yang berpakar, atau pakar perubatan keluarga di klinik kerajaan.

“Jika permohonan adalah lengkap dan mengikut syarat yang telah ditetapkan, sijil digital melalui MySejahtera akan diperoleh dalam tempoh satu minggu,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) yang mahu tahu apakah alternatif yang tersedia buat individu yang tidak boleh divaksinasi atas faktor-faktor berkaitan kemudaratan kesihatan.

Sebelum itu, Khairy menjelaskan, bagi individu terlibat, pakar perubatan akan menasihatkan pengambilan vaksin daripada jenis lain yang bersesuaian.

“Sebagai contoh, jika seseorang didapati menghidap alahan kepada vaksin jenis Pfizer, vaksin jenis lain seperti Sinovac boleh diberikan.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya individu tersebut disahkan tidak boleh mengambil sebarang jenis vaksin Covid-19 atas sebab-sebab perubatan, individu tersebut perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan lebih ketat secara kendiri seperti memakai pelitup muka, memastikan penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dan lain-lain disebabkan individu tersebut lebih berisiko untuk mendapat jangkitan Covid-19,” katanya.