Buang peti ais, tilam dalam sungai

Kerja-kerja pembersihan sisa-sisa pepejal yang dilakukan di parit, longkang dan saliran utama. Antara bahan buangan yang ditemui sewaktu kerja pembersihan dilaksanakan di sungai, parit, longkang serta saliran utama susulan banjir kilat di bandar raya ini, Khamis lalu.- Foto MBJB.
Kerja-kerja pembersihan sisa-sisa pepejal yang dilakukan di parit, longkang dan saliran utama. Antara bahan buangan yang ditemui sewaktu kerja pembersihan dilaksanakan di sungai, parit, longkang serta saliran utama susulan banjir kilat di bandar raya ini, Khamis lalu.- Foto MBJB.
A
A
A

JOHOR BAHRU- Bukan sahaja ratusan plastik sampah malah peti sejuk, tayar dan sisa pokok ditemui sewaktu kerja pembersihan di sungai, parit, longkang serta saliran utama susulan banjir kilat di bandar raya ini pada Khamis lalu.

Majlis Bandaraya Johor Bahru ( MBJB) menerusi kenyataannya memberitahu kerja pembersihan secara manual menggunakan jentera berat seperti jengkaut dan kren pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Selain itu, MBJB turut melaksanakan kerja pembersihan segera terhadap sisa runtuhan struktur dan tembok batu di beberapa saliran utama seperti di Kampung Melayu Majidee dan Sungai Chat, Kampung Md Amin.

Menurut kenyataan itu lagi, MBJB telah mengenalpasti 24 lokasi "hotspot" atau kawasan berpotensi berlaku banjir susulan kejadian banjir kilat yang melanda di sekitar bandar raya ini pada Khamis lalu.

"Daripada jumlah itu, 18 lokasi "hotspot" terbabit terletak di bawah seliaan MBJB manakala enam lokasi hotspot lagi adalah di bawah seliaan agensi kerajaan yang lain.

"Antara lokasi hotspot dan terjejas yang dilawati adalah di kawasan Sungai Chat, Kampung Md Amin, Kampung Pasir, Kempas Lurah, Kempas Permatang, Kampung Ubi, Jalan Tiong Larkin Jaya, Larkin Idaman dan Taman Majidee.

"MBJB memohon kerjasama setiap warga bandar raya untuk menjaga kebersihan alam sekitar dengan tidak membuang sampah dan sisa domestik di dalam atau berhampiran saliran utama yang sudah pasti boleh menghalang aliran air sewaktu hujan lebat dan memburukkan lagi keadaan banjir yang berlaku," katanya.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman turut melawat lokasi 'hotspot' banjir tersebut bersama ketua- ketua jabatan MBJB pada Ahad bagi merangka tindakan penyelesaian bersepadu bagi penyelesaian segera, sederhana dan jangka masa panjang yang akan dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Noorazam ( kanan) melawat lokasi 'hotspot' banjir di sekitar bandar raya Johor Bahru.
Noorazam ( kanan) melawat lokasi 'hotspot' banjir di sekitar bandar raya Johor Bahru.

Berdasarkan lawatan tersebut, Noorazam memutuskan untuk melaksanakan kerja pembersihan dasar sungai dengan kadar segera bagi mengelakkan kejadian banjir berulang.

"Memandangkan kejadian banjir, baru-baru ini juga disebabkan oleh projek pembangunan perumahan dan infrastruktur oleh pemaju, MBJB juga telah mengarahkan pemaju untuk membuat kawalan segera bagi memastikan kerja pembangunan yang dibuat, tidak menyebabkan kelodak atau sisa kerja tanah memasuki saliran utama yang boleh menyebabkan kejadian banjir kilat.

"Satu penyelesaian bersepadu di antara MBJB bersama agensi kerajaan dan pihak pemaju lain perlu diselaraskan untuk menyelesaikan isu berkaitan parit dan saliran di dalam kawasan MBJB selain membangunkan sistem tebatan banjir untuk mengelakkan kejadian banjir berulang.

"Bagi tindakan jangka masa panjang pula, MBJB akan melaksanakan kajian bagi memastikan kejadian banjir di kawasan hotspot banjir tidak berulang melalui pembinaan struktur kolam takungan dan sistem pam di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti," katanya.

Khamis lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan menitahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya segera menjalankan kajian di semua kawasan yang kerap berlaku banjir kilat di negeri ini.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda mahu kedua-dua pihak berkenaan supaya segera mempersembahkan laporan kajian berkenaan.