143,000 pelajar hadir hari pertama persekolahan

MOHD RADZI
MOHD RADZI
A
A
A

KUALA PILAH- [DIKEMASKINI] Seramai 143,000 pelajar membabitkan negeri dalam kumpulan A dan B telah memulakan sesi persekolahan secara bersemuka sejak Ahad.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 94,000 pelajar dari negeri kumpulan B termasuk Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka, manakala selebihnya merupakan Pulau Langkawi, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

"Jika kita lihat secara umumnya pada hari ini, hampir semua negeri telah dibuka untuk sesi persekolahan secara bersemuka kecuali Kedah dan Johor, InsyaALLAH pada10 Oktober nanti para pelajar dari negeri berkenaan (Johor dan Kedah) akan masuk ke sekolah secara berperingkat.

"Ini merupakan satu pendekatan yang diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu dengan semangat untuk membawa pelajar kembali ke sekolah dan kita dapat lihat bahawa seluruh ekosistem pendidikan telah mula kembali bergerak cuma keadaannya kita laksanakan secara berperingkat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Kurshiah, Kuala Pilah pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Md Fiah Md Jamin.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, kehadiran pelajar ke sekolah bagi sesi bersemuka secara umumnya adalah amat baik.

"Kita mengambil kira pada hari pertama persekolahan ini, ramai dalam kalangan ibu bapa memilih untuk menghantar anak-anak ke sekolah namun begitu masih ada ibu bapa merasakan masanya belum sesuai untuk mereka berbuat demikian (menghantar anak ke sekolah).

Artikel Berkaitan:

"Sepertimana yang kita maklum, pihak sekolah tidak akan mengambil sebarang tindakan disiplin cuma ibu bapa perlu maklumkan kepada sekolah.

"Kalau kita lihat trend sebelum ini, apabila sesi persekolahan dibuka pada bulan Jun tahun lepas dan bulan Mac lalu, di peringkat awal sebahagian ibu bapa mengambil pendekatan untuk tidak menghantar anak terlebih dahulu namun apabila masa berlalu, dalam satu tempoh kita lihat bahawa kehadiran itu amat baik," katanya.

Mohd Radzi turut mengadakan lawatan di beberapa buah sekolah di negeri ini antaranya SMK Tunku Ampuan Duran, Seremban; SMK Tunku Muhammad, Kuala Pilah; Sekolah Menengah Sains Tunku Jaafar, Kuala Pilah dan Kolej Vokasional Juasseh, Kuala Pilah.