Dirempuh kereta api: Amirul Hakimi masih koma

Keadaan Muhammad Amirul Hakimi selepas terpelanting kira-kira tiga meter.
Keadaan Muhammad Amirul Hakimi selepas terpelanting kira-kira tiga meter.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Uban yang dirempuh kereta api ketika menolak basikalnya untuk pulang ke rumah petang semalam alami pendarahan di kepala dan sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Ibu saudaranya, Rohaida Yaakub, 35, berkata, Muhammad Amirul Hakimi Muhd Yuslizam, 9, masih belum sedarkan diri dan bergantung sepenuhnya kepada alat pernafasan.

“Hasil pemeriksaan rapi yang dilakukan, doktor mengesahkan Muhammad Amirul Hakimi mengalami pendarahan di kepala.

“Doktor juga mengesahkan dia perlu menjalani pembedahan dalam masa terdekat untuk membuang ketulan darah di kepalanya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, kejadian itu berlaku sekitar jam 5.30 petang ketika Muhammad Amirul Hakimi yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu dalam perjalanan pulang dari SK Tok Uban ke rumahnya di Kampung Rasal.

Katanya, ketika sedang melintasi landasan, bahagian belakang tayar basikal Muhammad Amirul Hakimi telah dirempuh keretapi.

“Ekoran kejadian itu, Muhammad Amirul Hakimi telah terpelanting kira-kira tiga meter.

“Saya difahamkan semasa kejadian menimpa Muhammad Amirul Hakimi bersama beberapa murid sekolah yang lain sedang melintasi landasan itu dan dia merupakan orang yang terakhir,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Rohaida berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu telah membawa Muhammad Amirul Hakimi ke Hospital Pasir Mas untuk mendapat rawatan sebelum dipindahkan ke HUSM.

Difahamkan ketika kejadian kereta api itu dari arah Tanah Merah menghala Tumpat.