Pengusaha bas perlu dibantu elak syarikat gulung tikar

Che Ibrahim (kanan) memeriksa keadaan bas ekspres yang sudah lama tidak beroperasi disebabkan Covid-19 selepas mesyuarat agung tahunan kali pertama PPBBM di Panji, Kota Bharu pada Ahad.
Che Ibrahim (kanan) memeriksa keadaan bas ekspres yang sudah lama tidak beroperasi disebabkan Covid-19 selepas mesyuarat agung tahunan kali pertama PPBBM di Panji, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan dirayu memberikan bantuan segera kepada pengusaha bas di negara ini bagi mengelakkan syarikat penyedia perkhidmatan itu terus 'gulung' tikar akibat serangan pandemik Covid-19.

Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Bas Bumiputera Malaysia (PPBBM), Che Ibrahim Che Ismail mengakui terdapat 50 buah syarikat bas persiaran di negara ini sedang berdepan notis mahkamah akibat tunggakan hutang.

Menurut beliau, kebanyakan syarikat yang terlibat ini membuat pinjaman kredit daripada institusi kewangan.

"Saya bimbang jika tiada bantuan segera khususnya dalam bentuk kewangan berkemungkinan besar lebih ramai lagi yang akan menutup operasi kerana tidak mampu menampung pertambahan kos," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama PPBBM di Panji pada Ahad.

Menurutnya, bantuan itu amat penting bagi memastikan pengusaha perkhidmatan bas di seluruh negara dapat terus beroperasi sekaligus mendepani cabaran pandemik Covid-19 ketika ini.

Katanya, sebanyak RM10,000 hingga RM15,000 diperlukan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih melibatkan bas ekspres serta persiaran.

Che Ibrahim berkata, kos penyelenggaraan bas pekerja dan sekolah hanya memerlukan RM8,000 sahaja.

"Selain itu, PPBBM turut berharap kerajaan dapat melanjutkan lagi moratorium untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) selama enam bulan untuk pengusaha bas sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga mahu cukai jalan dibayar mengikut tarikh tamat tempoh supaya dapat meringankan beban pengusaha bas sekolah," katanya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan meneruskan langkah gelembung pelancongan dengan mewajibkan individu atau kumpulan menggunakan perkhidmatan bas persiaran.

Katanya, ia bagi memastikan pengusaha perkhidmatan pengangkutan terus berfungsi selain menggalakkan orang ramai patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, untuk makluman kesemua pekerja bas ekspres sudah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebagaimana arahan kerajaan.

"Hanya mereka yang sudah divaksin dibenarkan untuk bertugas dan penumpang yang lengkap dua dos sahaja dibenarkan menggunakan perkhidmatan ini," katanya.