'Tak puas hati laporan kadar positif Covid-19 menurun di Selangor'

Dzulkefly (depan, kiri) turut turun padang mengutip sampah pada Program Clean and Clear: Beach cleanup di Pantai Remis di sini pada Ahad.
Dzulkefly (depan, kiri) turut turun padang mengutip sampah pada Program Clean and Clear: Beach cleanup di Pantai Remis di sini pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC) tidak berpuas hati dengan laporan penurunan kes positif di negeri Selangor pada paras 4.83 peratus meskipun kadar itu melepasi sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di bawah lima peratus.

Pengerusi STFC, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau berasa tidak selesa selepas membaca laporan mengenai pencapaian penurunan kadar Covid-19 di negeri ini.

"Kita tahu banyak masalah antaranya, individu melakukan ujian saringan di rumah yang didapati negatif tidak melaporkan kepada Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan tidak mengemas kini pada aplikasi MySejahtera.

"Dengan kata lain, penurunan kes di Selangor lebih rendah disebabkan individu negatif tidak membuat laporan saringan, sebaliknya hanya individu positif sahaja melaporkan (di dalam sistem MKAK dan MySejahtera)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Clean and Clear: Beach cleanup di Pantai Remis di sini pada Ahad.

Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, pihaknya akan terus melakukan strategi berterusan sebagai langkah membendung Covid-19 melalui cari, uji, jejak, asing dan sokongan (FTTIS).

"Selain itu, kita juga akan memberi tumpuan kepada vaksin dan ventilasi (pengudaraan) sangat penting terutama di sekolah dan tempat kerja yang sememangnya perlu mempunyai saliran pengudaraan yang baik," jelasnya.

Mengulas perancangan STFC berikutan peralihan ke fasa endemik, Dzulkefly berkata, pihaknya telah memberikan input yang lebih meluas kepada Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, STFC akan mengadakan pemukiman (retreat) dalam tempoh terdekat bagi menggarap bukan sahaja soal pandemik dan endemik tetapi lebih jauh lagi untuk mendepani cabaran kesihatan awam pada masa depan.

"Selangor mesti buat persediaan secara keseluruhannya termasuk memberikan pendedahan dan penjelasan berikutan kemunculan varian Delta serta pelbagai varian baharu lain," katanya.