Imam rugi RM50,000 ditipu bakal menantu

Abdul Rahim Daud
Abdul Rahim Daud
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang imam masjid mendakwa ditipu bakal menantu lelaki hingga kerugian RM50,000 dalam tempoh empat bulan bermula Jun hingga pertengahan bulan lalu.

Mangsa yang berusia 65 tahun tampil membuat laporan di Balai Polis Bachok pada 14 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, mangsa mengenali suspek melalui anak perempuannya yang berusia 28 tahun.

Menurutnya, lelaki itu mendakwa mempunyai perniagaan emas dan kambing perap serta meminta sejumlah modal daripada imam tersebut sebanyak beberapa kali.

“Imam berkenaan memberi sejumlah wang lebih RM38,000 secara berperingkat daripada awal Jun hingga September di Bandar Baru Kubang Kerian.

“Mangsa turut memberi barang kemas berjumlah RM6,000 dan sebuah kereta jenis Proton Gen2 bagi memudahkan urusan perniagaan bakal menantunya itu,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu oleh lelaki tersebut apabila wang yang dipinjamkan tidak dikembalikan.

“Imam tersebut menghubungi bakal menantunya itu untuk menuntut wang, namun suspek memberikan pelbagai alasan menyebabkan mangsa membuat laporan polis,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, katanya, suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Pengkalan Chepa di sini pada jam 11 malam Ahad bagi membantu siasatan.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Kes berkenaan tular di laman sosial apabila anak mangsa berkongsi laporan polis di Facebook dan mendakwa dipukau hingga tertipu.