Mara belanja RM70 juta bantu usahawan automotif

Mahdzir (kanan) diberi penerangan oleh Mohd Izwan (kiri) selepas merasmikan pusat servis PMH Sdn Bhd, Alor Setar pada Ahad.
Mahdzir (kanan) diberi penerangan oleh Mohd Izwan (kiri) selepas merasmikan pusat servis PMH Sdn Bhd, Alor Setar pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak RM70 juta dibelanjakan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk membantu usahawan mengembangkan perusahaan dalam bidang automotif melalui Mara Integrated Smart Auto (MISA) sejak tahun 2013.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, seramai 48 usahawan automotif di seluruh negara telah dibantu pihaknya setakat ini melalui program yang menawarkan had pembiayaan maksimun sehingga RM1 juta.

Beliau berkata, skim pembiayaan khas seperti MISA disediakan khusus untuk para usahawan bagi mengembangkan perniagaan termasuk menaik taraf bengkel mereka.

"Ekosistem lengkap Mara dalam membangunkan industri automotif bermula dengan pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang menyediakan program automotif dalam pelbagai peringkat sehingga kepada penyediaan fasiliti keusahawanan, antaranya merangkumi latihan, bantuan pembiayaan dan khidmat nasihat.

"Di bawah program MISA, Kita sudah mengeluarkan sebanyak RM70 juta pembiayaan kepada 48 usahawan seluruh negara. Di Kedah sahaja, terdapat tiga usahawan yang dibantu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Servis Perniagaan Mazlan dan Hashimah (PMH) Sdn Bhd di sini pada Ahad.

Mahdzir berkata, beberapa program khas turut dibangunkan bagi memantapkan lagi usahawan dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata, antaranya ialah Program Pembangunan Usahawan Automotif Mara Petronas (PIMP), program khas Auto Glass Expert (AGE) dan pelbagai program keusahawanan yang menyasarkan pengembangan perniagaan dan industri automotif.

Menurutnya, automotif merupakan antara salah satu bidang TVET yang mendapat sambutan memberangsangkan dan memfokuskan kepada dua elemen utama iaitu melahirkan tenaga kerja profesional dan berkemahiran serta membimbing individu yang berkemahuan untuk menjadi usahawan dalam bidang berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"PMH Sdn Bhd merupakan salah satu contoh usahawan berjaya yang dibimbing Mara. Ia hasil kegigihan seorang anak muda yang merupakan bekas pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menambah baik prestasi pusat servis ini," katanya.

Mahdzir berkata, Ketua Pegawai Eksekutif PMH Sdn Bhd, Mohd Izwan Mazlan, 36, yang merupakan generasi kedua perusahaan itu berjaya menaik taraf bengkel membaiki kereta biasa ke tahap pusat servis kereta premium setanding syarikat servis kereta ternama.