Bekalan ayam berkurangan timbul tanda tanya

Nafidah (tengah) membeli ayam kuning dengan Mohd Nazwan di Pasar Cabang Tiga, Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
Nafidah (tengah) membeli ayam kuning dengan Mohd Nazwan di Pasar Cabang Tiga, Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Bekalan ayam mentah yang berkurangan di pasar basah dan gerai di sekitar Pengkalan Chepa sejak tiga hari lalu menimbulkan kegusaran dan tanda tanya pembeli.

Harga ayam itu juga melambung tinggi sehingga mencecah RM10.30 sekilogram sejak sebulan lalu iaitu paling tinggi tahun ini.

Seorang peniaga, Mohd Nazwan Nazari, 25, berkata, jualan ayam berkurangan kerana peniaga memperoleh bekalan terhad daripada pembekal dan pemborong.

Katanya, peruncit atau penjual hanya boleh mengambil 20 sehingga 30 ekor ayam sahaja setiap hari berbanding 100 ekor sebelum ini.

“Kami sendiri tidak pasti punca bekalan dihadkan dan terpaksa akur kerana perlu meneruskan perniagaan.

“Harga jual yang mahal itu pula disebabkan harga ayam yang diperoleh daripada pembekal meningkat iaitu lebih RM8 sekilogram berbanding sekitar RM5 hingga RM6 sekilogram sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Pasar Cabang Tiga, Pengkalan Chepa, di sini, pada Ahad.

Seorang lagi peniaga, Wan Mustaqim Wan Mohd Zulkiflie, 32, mengakui tidak tahu punca kenaikan harga dan kakurangan bekalan ayam di pasaran.

Menurutnya, mereka dimaklumkan pembekal harga dedak mahal menyebabkan harga ayam turut meningkat.

Artikel Berkaitan:

"Kami terpaksa menaikkan harga lebih tinggi untuk mendapatkan sedikit untung berniaga. Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan juga beberapa kali memantau keadaan ini,” katanya.

Ayam kuning yang dijual di Pasar Cabang Tiga, Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
Ayam kuning yang dijual di Pasar Cabang Tiga, Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Sementara itu, pelanggan Nafidah Mohd Hanifa, 45, mengeluh apabila terpaksa pergi ke tiga tempat menjual ayam termasuk di Sabak dan Kota Bharu tetapi tidak dapat membeli bahan mentah itu.

“Abang saya yang berniaga di kedai makan di Kota Bharu juga memberitahu tidak ada ayam di sekitar bandar itu.

Bagaimanapun, saya dapat beli ayam di Pasar Cabang Tiga Pengkalan Chepa,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri Azanizam Affendi Juri dalam satu kenyataan berkata, pemantauan pihaknya di sekitar Kota Bharu mendapati dua lokasi menjual ayam dengan harga RM8.50 sehingga RM10.30 sekilogram iaitu di Pasar Pengkalan Chepa dan Pasar RTC Tunjong.

“Ayam tersebut adalah jenis ayam kuning yang tidak termasuk di bawah kategori ayam standard menyebabkannya lebih mahal.

“Harga ayam terendah RM5.99 hingga RM8.50 sekilogram pula boleh didapati di pasar raya Tesco dan Pacisif Kota Bharu manakala ayam yang dijual di gerai tepi jalan sekitar RM 8 sehingga RM 8.50 sekilogram,” katanya.

Ujar beliau, punca isu kekurangan bekalan yang didakwa pula masih dalam siasatan pihaknya.