Covid-19: Manulife Malaysia umum cuti tambahan kepada pekerja

No Image Caption
A
A
A

SYARIKAT insurans multinasional, Manulife Malaysia mengambil beberapa inisiatif termasuk memberikan cuti tambahan lima hari kepada pekerjanya bagi menghargai kerja keras mereka sepanjang berdepan pandemik Covid-19.

Selain itu, syarikat berkenaan turut menawarkan bantuan kewangan kepada pelanggan bagi memastikan mereka terus selamat dan berdaya tahan dalam mengharungi Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Manulife Malaysia, Vibha Coburn berkata, pihaknya juga menyokong pekerja dan ahli keluarga mereka yang belum menerima vaksinasi untuk mendapat vaksin dengan lebih mudah di klinik dan pusat kesihatan yang telah diatur di pelbagai negeri di negara ini melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Penyusunan vaksinasi ini bermula pada 22 Julai lalu bagi memudahkan pemvaksinan pekerja cawangan Manulife Malaysia.

“Selain itu, menjelang tahun 2022, kita sekali lagi memberikan lima hari peribadi (cuti tambahan) kepada semua pekerja untuk digunakan tahun depan sebagai menghargai semua kerja keras yang telah mereka lakukan.

“Manulife Malaysia juga mengumumkan ‘Fuel Up Fridays’ iaitu sebuah inisiatif global Manulife untuk menyokong kesejahteraan pekerja, yang mana inisiatif ini mengetepikan hari Jumaat kedua setiap bulan hingga akhir tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Bagi pelanggan pula, Manulife Insurance Berhad (MIB) memperkenalkan Program Bantuan Kewangan Khas (SFAP) bernilai RM1 juta sejak 26 Februari 2020.

Menurutnya, program ini memberikan pemegang polisi pendapatan harian sebanyak RM200 setelah didiagnosis Covid-19 dan faedah belas kasihan sehingga RM15,000.

Artikel Berkaitan:

“Sejak 1 Jun 2021, MIB telah memperuntukkan tambahan RM500,000 di bawah SFAP 2.0 untuk terus menyokong pemegang polisi yang terkesan dengan Covid-19. Kedua-dua program tersebut telah ditebus sepenuhnya dan memberi manfaat kepada lebih dari 600 pelanggan.

“Pasukan kami di Malaysia telah menunjukkan ketahanan yang luar biasa ketika kami terus mengatasi wabak dengan menyokong pekerja, pelanggan dan komuniti.

“Inisiatif ini didorong oleh keinginan untuk memberikan sokongan yang bermakna dengan membantu pekerja dan pelanggan, kerana itu kami akan terus mengambil pendekatan holistik untuk menyokong kesejahteraan fizikal dan mental mereka,” jelasnya.