Tekanan hidup punca kanak-kanak jadi mangsa

 Dr Mariani menunjukkan pecahan umur suspek dan pecahan hubungan suspek dengan mangsa ketika ditemu bual baru-baru ini. - Foto Bernama
Dr Mariani menunjukkan pecahan umur suspek dan pecahan hubungan suspek dengan mangsa ketika ditemu bual baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - “Tak siuman atau penagih dadah!” Setiap kali tersebar berita penderaan atau pembunuhan kejam khususnya kanak-kanak, itulah antara andaian lazim masyarakat terhadap suspek kes.

Realitinya, ramai pelaku yang terlibat dengan jenayah ini bukanlah mengalami gangguan mental jauh sekali gila mahupun berada di bawah pengaruh dadah, sebaliknya sihat dan boleh berfikir secara waras.

Ada antara mereka digambarkan mempunyai peribadi, taraf pendidikan, kerjaya dan latar belakang agama yang baik malah dianggap seperti saudara sendiri oleh keluarga mangsa.

Justeru, apa yang mendorong mereka bertindak sehingga melanggar kewarasan manusia normal?

Berkongsi pandangan Professor Datin Dr Mariani Md Nor, Pakar Psikologi Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya berkata, dendam dan amarah yang disimpan terlalu lama antara yang boleh dikaitkan sebagai punca sehingga membawa kepada kejadian lebih buruk dan tidak diduga.

“Mereka tidak menghadapi masalah mental atau dengan kata lain tidak gila kerana masih boleh berfikir bagaimana untuk memperdayakan mangsa. Cuma kadang-kadang ada perkara yang tanpa disedari berlaku di masa lampau yang mengguris hati atau menyebabkan mereka (si pelaku) tidak puas hati sehingga menyimpan dendam dan amarah.

“Sampai suatu ketika disebabkan perasaan dendam kesumat yang tidak berkesudahan itu akhirnya membawa kepada kes-kes sebegini yang bukan sahaja melibatkan orang yang dimarahi pada asalnya, tetapi uga ahli keluarga serta insan terdekat mereka,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penganiayaan dan penderaan kanak-kanak pada 2016 adalah sebanyak 4,982. Angka ini meningkat 460 kes pada 2017, menjadikan jumlah kes pada tahun berkenaan sebanyak 5,442 kes.

Artikel Berkaitan:

Statistik pada 2018 dari Januari hingga April pula mencatat 1,929 kes. Mengikut laporan statistik itu, jenis penderaan yang sering dilaporkan ialah pengabaian dan diikuti dengan penderaan fizikal serta penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

Tekanan, pengaruh emosi

Tekanan yang memuncak daripada rasa tidak puas hati, kemurungan yang tercetus kerana terlalu banyak masalah yang dilalui tanpa ada penyelesaian, tiada sokongan moral di samping percanggahan keperluan dan keinginan dengan persekitaran, mengakibatkan si pelaku yang normal melakukan jenayah.

“Ungkapan ‘tergamaknya’ mereka, kerana itulah satu-satunya jalan penyelesaian yang dilihat walau hakikatnya salah. Ditambah pula apabila si pelaku ini mengenali rapat serta tahu kelemahan mangsa atau keluarga mangsa, maka ruang untuk melakukan jenayah adalah lebih besar.

“Disebabkan itu masyarakat perlu sentiasa berhati-hati dalam memberi kepercayaan kepada seseorang terutama kepada bukan anggota keluarga sendiri,” katanya sambil menambah kanak-kanak adalah golongan yang amat mudah untuk dipengaruhi.

Namun begitu, bagaimana pula kes penderaan dan kematian kanak-kanak yang disebabkan oleh ahli keluarga sendiri?

Antara kes terbaru, pada 20 Februari lepas adik Muhammad Hafiz Abdullah, 5, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Padang Rumbia, Pekan, dipercayai akibat didera bapa tiri dan ibu kandungnya.

Bedah siasat yang dilakukan mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan berganda di kepala dan keadaan limpa yang pecah, selain mempunyai kesan lebam baru di dada, kesan cucuh api rokok di tapak kaki, bibir pecah, lebam sebelah mata kanan serta luka-luka kecil baru di bahagian kening kanan.

Menjawab persoalan itu Dr Mariani berkata walaupun tidak semua ibu atau bapa tiri mempunyai ‘watak jahat’ namun ada dalam kalangan mereka mempunyai sikap kepunyaan yang melampau.

Perkara itu katanya, sehingga tahap tidak mahu berkongsi kasih sayang suami atau isteri bersama orang lain, hatta dengan anak tiri.

“Melihat wajah anak tiri, akan terbayang wajah wanita atau lelaki yang pernah menjadi pasangan hidup suami atau isteri. Dengan lambakan masalah yang ada, kehadiran anak tiri menambah tekanan sehingga membuatkan si ibu atau bapa tiri ini tidak teragak-agak melampiaskan amarah dan geram selain disokong pula oleh ibu atau bapa kandung sehingga mencetuskan perbuatan memukul anak kecil tanpa berfikir secara rasional.

“Dalam kes ini emosi yang mempengaruhi tindakan, bukan fikiran waras. Tiada sifat empati yang baik dan tebalnya emosi negatif membawa kepada perbuatan mendera sehingga membunuh,” jelasnya yang turut menambah fizikal kanak-kanak yang kecil membuatkan mereka tidak mampu untuk melawan kudrat orang dewasa.

Bunuh anak kandung

Berkongsi pandangan isu sama, Datuk Dr Rabaiah Mohd Salleh, bekas Pengarah dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, berkata terdapat beberapa kategori dan punca yang menyebabkan ibu bapa sanggup menyeksa, mendera sehingga menyebabkan kematian zuriat sendiri.

Memetik Dr Phillip J. Resnick, seorang pakar psikiatri dari Amerika Syarikat, Dr Rabaiah berkata pembunuhan ‘altrustic’, penyakit mental, belenggu kemiskinan termasuk tiada kerja tetap, tidak berpendidikan tinggi, membalas dendam serta penyalahgunaan dadah adalah antara yang boleh dikaitkan.

“Pembunuhan' altrustic' merujuk kepada fikiran bahawa kematian anak itu adalah jalan yang terbaik bagi mereka atau penyelesaian kepada semua masalah. Ia biasanya terjadi apabila si ibu atau ayah mempunyai niat untuk membunuh diri, justeru mereka (perlu) membawa anak bersama.

“Penyakit mental seperti psikosis turut membawa seseorang ke arah kemurungan yang serius sehingga hilang kewarasan. Bagi pembunuhan bayi termasuklah yang baru lahir dalam tempoh 24 jam pula ia disebut sebagai ‘infanticide’. Dalam keadaan tertentu pembunuhan jenis ini dilakukan kerana stigma masyarakat terhadap isu mengandung di luar nikah termasuk akibat negatif yang bakal diterima oleh si ibu,” jelas beliau.

Menurut Dr Rabaiah lagi, kemiskinan yang disertai hubungan kekeluargaan yang rapuh turut menjadi antara faktor kepada gejala sosial dan jenayah ini.

Kesusahan hidup ditambah keganasan yang sering berlaku di dalam sebuah rumah tangga dan tiada sokongan moral antara satu sama lain boleh membawa kepada penderaan emosi dan fizikal anak-anak.

Kebanyakan penderaan fizikal yang bermula sebagai niat untuk mengajar sambil menghukum di atas sesuatu kesalahan yang dilakukan oleh kanak-kanak, malangnya boleh bertukar kepada tragedi yang lebih dahsyat.

“Bermula dengan penderaan emosi, kemudian fizikal akhirnya tanpa diduga membawa kepada kematian yang tidak disengajakan apabila anak-anak menjadi korban ibu bapa sendiri.

“Seseorang yang pernah didera semasa kanak-kanak atau melalui keganasan rumahtangga yang berpanjangan berpotensi mengakibatkan anak-anak mereka pula menjadi mangsa seterusnya. Dalam erti kata lain, penderaan fizikal yang berterusan akan menyebabkan mangsa sendiri menjadi pendera apabila dewasa.

“Terdapat juga kes balas dendam terhadap pasangan. Anak dibunuh bagi tujuan membalas dendam kepada bekas pasangan yang mempunyai pasangan baharu. Dalam kejadian ini anak yang dibunuh itu bukan lagi dilihat sebagai anak sendiri sebaliknya anak pasangan yang curang justeru mereka dijadikan pengantara,” jelasnya sambil menambah penyalahgunaan dadah serta pengambilan alkohol berlebihan juga antara yang popular menjadi penyebab dalam kes seumpama itu. - Bernama