Covid-19: 9,066 kes baharu, Sarawak masih tertinggi

Kes baharu positif Covid-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lalu menurun kepada 9,066 kes berbanding 10,915 pada Sabtu. Foto hiasan
Kes baharu positif Covid-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lalu menurun kepada 9,066 kes berbanding 10,915 pada Sabtu. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jumlah kes baharu Covid-19 pada Ahad mencatat penurunan iaitu 9,066 kes dalam tempoh 24 jam berbanding 10,915 kes pada Sabtu.

Kali terakhir negara mencatat kes baharu di bawah angka 10,000 ialah pada 12 Julai lalu iaitu 8,574 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu berkenaan menjadikan kumulatif kes di Malaysia kini mencecah sebanyak 2,277,565 kes.

Beliau berkata, Sarawak menjadi negeri melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,418 kes, diikuti Selangor (1,000), Johor (981), Terengganu (827), Kelantan (796), Sabah (767) dan Kedah (670).

“Bagi negeri Perak sebanyak 669 kes direkodkan diikuti dengan Pahang (630), Pulau Pinang (620), Melaka (206), Kuala Lumpur (201) dan Negeri Sembilan (191).

“Perlis pula merekodkan sebanyak 66 kes dan Putrajaya 24 kes, manakala Labuan tiada kes baharu dilaporkan,” katanya menerusi Facebook beliau pada Ahad.

Dr Noor Hisham dalam kenyataan sama memaklumkan, sebanyak 14,454 kes sembuh dilaporkan pada Ahad menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini ialah 2,100,565 kes.

“Daripada 9,066 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 159 kes adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala 8,907 kes lagi terdiri daripada kategori satu dan dua,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, terdapat 835 kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 815 orang yang disahkan positif Covid-19, manakala 20 orang lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Tambah beliau, sebanyak 535 kes memerlukan bantuan pernafasan membabitkan 355 yang disahkan positif Covid-19, manakala 180 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Menurutnya, enam kluster baharu dikesan dengan tiga daripadanya berkaitan kluster tempat kerja, manakala selebihnya melibatkan kluster komuniti.