Ahmad Faizal beri bayangan pertahan Parlimen Tambun, DUN Chenderiang

Ahmad Faizal (duduk, depan dari kiri) mendengar taklimat mengenai pembinaan Klinik Kesihatan Manjoi selepas menziarahi sebuah keluarga susah di Kampung Manjoi di sini pada Ahad.
Ahmad Faizal (duduk, depan dari kiri) mendengar taklimat mengenai pembinaan Klinik Kesihatan Manjoi selepas menziarahi sebuah keluarga susah di Kampung Manjoi di sini pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi bayangan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Tambun yang disandangnya ketika ini.

Menurutnya, persediaan untuk mempertahankan kerusi tersebut juga dilakukan dengan lebih rapi memandangkan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengumumkan secara terbuka untuk menentang beliau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Beliau berkata, paling penting ketika ini, tanggungjawab sebagai wakil rakyat perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

"Saya rasa, saya perlu bekerja lebih kuat lagi sebab orang yang nak bertanding dengan saya ini bukan calang-calang orang, yang saya kira boleh jadi Perdana Menteri, jadi saya kena bekerja lebih kuat untuk memastikan saya terpilih sekali lagi di Parlimen Tambun ini.

"Yang penting sekarang tengah ada umur, tengah ada tanggungjawab saya perlu buat kerja dengan harapan akan datang saya dapat menabur bakti," katanya kepada pemberita selepas menziarahi sebuah keluarga susah di Kampung Manjoi di sini pada Ahad.

Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang berkata, kerja keras juga akan dilakukan sebaik mungkin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) memandangkan masih banyak lagi masalah perlu diselesaikan dan pembangunan yang perlu dibuat.

Menurutnya, sama ada kekal di kerusi tersebut atau sebaliknya, perkara paling penting adalah memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN).

Farhash Wafa Salvador sebelum ini mengesahkan akan bertanding di kerusi DUN dan Parlimen di negeri ini pada PRU15.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyatakan hasrat untuk bertanding di kawasan yang ditandingi oleh nama-nama besar termasuk Ahmad Faizal.