Bentang undang-undang perlindungan warga emas

Kerajaan dicadang membentangkan undang-undang perlindungan kepada warga emas menerusi persidangan Parlimen bagi mengatasi masalah penderaan dan pengabaian terhadap golongan berkenaan.(Gambar hiasan) -Foto 123rf
Kerajaan dicadang membentangkan undang-undang perlindungan kepada warga emas menerusi persidangan Parlimen bagi mengatasi masalah penderaan dan pengabaian terhadap golongan berkenaan.(Gambar hiasan) -Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dicadang membentangkan undang-undang perlindungan kepada warga emas menerusi persidangan Parlimen bagi mengatasi masalah penderaan dan pengabaian terhadap golongan berkenaan.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, undang-undang tersebut dapat mendidik masyarakat untuk lebih menyayangi warga emas yang perlu dijaga dengan penuh kesantunan dan kelembutan.

Menurutnya, kes penderaan dan pengabaian dilihat semakin membimbangkan dan perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak.

“Hari ini, kita sudah mendengar banyak kisah dan kes orang-orang tua yang didera, ditipu dan diabaikan bukan sahaja oleh orang luar tetapi turut dilakukan anak sendiri.

“Daripada 10.7 peratus jumlah warga emas yang berada di Malaysia, dilaporkan dalam 1/100 orang tua pernah merasai pengalaman ditipu dalam kewangan sama ada melibatkan sindiket mahupun ahli keluarga sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ujar beliau, perkara tersebut berlaku disebabkan mereka tidak dilengkapi dengan didikan yang mencukupi untuk mengelakkan diri daripada ditipu oleh sindiket.

Dalam pada itu, Lam Thye berkata, terdapat ramai warga emas yang ditinggalkan oleh anak-anak mereka dan dibiarkan berseorangan di rumah orang tua tanpa dilawat sehingga meninggal dunia.

“Ada juga yang dibiarkan berseorangan di rumah sendiri tanpa dijenguk oleh anak-anak yang sibuk ataupun telah melupakan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, ibu bapa yang diabaikan tidak menerima bantuan kewangan dan hidup dalam kesempitan di samping menghidap pelbagai penyakit yang memerlukan kos rawatan tinggi.

“Selepas menghabiskan wang simpanan memberi kesenangan kepada anak-anak sendiri, ramai yang akhirnya ditinggalkan sendiri tanpa dibantu semula oleh anak-anak yang telah berjaya,” jelasnya.

Menurutnya, lebih menyedihkan, terdapat juga kes penderaan terhadap warga emas yang mana dijadikan orang gaji di rumah anak sendiri.

Lam Thye berkata, ada juga yang dipaksa atau terpaksa bekerja sebagai tukang cuci dengan gaji yang rendah demi kelangsungan hidup sendiri.

“Tiada siapa yang mampu melakukan apa-apa selain hanya boleh bersimpati kepada mereka yang kurang bernasib baik.

"Hal ini berlaku kerana tiada undang-undang khas untuk melindungi warga emas daripada diabaikan atau didera sama ada secara mental atau fizikal.

“Jika hal ini tidak diselesaikan sekarang, maka menjelang Malaysia menjadi negara tua kelak, akan wujud lebih banyak kes penderaan dan pengabaian melibatkan warga emas,” ujarnya.

Katanya, kerajaan adalah harapan untuk mereka dapat menjalani hidup secara dilindungi dan juga secara harmoni menjelang usia tua.