Penyu bakal jadi tarikan di kepulauan Mersing

Penyu bakal menadi tarikan di kepulauan Mersing.
Penyu bakal menadi tarikan di kepulauan Mersing.
A
A
A

MERSING - Penyu dilihat berpotensi dijadikan sebagai tarikan di kepulauan Mersing, memandangkan kesemua 13 pulau di perairan berkenaan yang diwartakan sebagai Taman Laut sering menjadi kawasan pendaratan hidupan liar itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, Jabatan Perikanan Negeri Johor (JPNJ) sentiasa giat melakukan konservasi terutama membabitkan spesies penyu mendarat iaitu agar dan karah.

Beliau berkata, sejajar dengan usaha itu, JPNJ akan mengeluarkan lebih banyak lesen memindah atau memungut telur penyu yang dapat menjadi sumber pendapatan baharu kepada penduduk kampung.

"Hampir 200 penyu mendarat di Johor sepanjang April hingga September setiap tahun. Selama ini kerajaan negeri cuma memperuntukkan sebanyak RM5,000 sahaja untuk membeli telur penyu daripada orang kampung, kemudian ia ditetaskan oleh JPNJ.

"Justeru, sukacita saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan negeri kini memperuntukkan RM200,000 bagi tujuan konservasi penyu ini. Kita bukan sahaja dapat mempertahankan konservasi penyu, malah ia juga sumber pendapatan baharu penduduk kampung dengan membeli telur itu daripada mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Taman Laut Pulau Tinggi, di sini pada Ahad.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah Pengarah JPNJ, Zainudin Abd Wahab.

Samsolbari berkata, JPNJ turut menyasarkan kira-kira 20,000 telur penyu mendarat di negeri ini pada tahun hadapan.

Menurut beliau, JPNJ juga akan terus memupuk hubungan baik dengan penduduk kampung untuk menjadi mata dan telinga mereka dalam usaha memastikan hidupan liar di lautan itu terus datang ke kepulauan Mersing.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zainudin berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 80 pemegang lesen khas pemungut telur penyu pada tahun hadapan.

Secara purata, beliau berkata, sebanyak 3,000 telur penyu setahun berjaya dikumpul menerusi pemegang lesen.

"Dengan peruntukan yang diberikan kerajaan negeri, semakin bertambah pemegang lesen...InsyaALLAH mungkin lebih 20,000 telur mendarat kita dapat.

"Keutamaan (pemegang lesen) akan diberikan kepada penduduk pulau kerana mereka lebih mengetahui dan tahu di mana tempat penyu itu mendarat,” katanya. - Bernama