Sesi persekolahan di Johor bermula 10 Oktober

Murid dan pelajar di kelas dan tingkatan tertentu di Johor hanya dibenarkan kembali ke sekolah secara bersemuka pada 10 Oktober ini.Gambar hiasan
Murid dan pelajar di kelas dan tingkatan tertentu di Johor hanya dibenarkan kembali ke sekolah secara bersemuka pada 10 Oktober ini.Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Murid dan pelajar di kelas dan tingkatan tertentu di Johor hanya dibenarkan kembali ke sekolah secara bersemuka pada 10 Oktober ini.

Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, tarikh tersebut berdasarkan tempoh selepas dua minggu daripada tarikh peralihan fasa, di mana Johor beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 24 September lalu.

Menurutnya, timbul kekeliruan apabila terdapat sesetengah ibu bapa murid dan pelajar di negeri ini menghubungi sekolah masing-masing bagi mendapatkan penjelasan.

"Pengumuman sebelum ini sememangnya menyatakan murid dan pelajar dari kelas dan tingkatan tertentu di negeri yang berada dalam Fasa Dua PPN mula bersekolah pada Ahad.

"Namun pengoperasian institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengikut ketetapan iaitu dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan fasa. Johor beralih ke Fasa Dua PPN pada 24 September lalu," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Khamis lalu, Kementerian Pendidikan dilaporkan menetapkan perubahan pengoperasian sekolah mengikut fasa baharu akan bermula dua minggu selepas peralihan fasa.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, Zainal Abas dilaporkan berkata, pembukaan sekolah pada Ahad dan Isnin adalah bagi negeri dalam Fasa Dua hingga Empat PPN seperti diumumkan Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Sekolah dilaporkan tidak dibuka pada negeri berada dalam Fasa Satu PPN, manakala negeri Fasa Dua pula, sekolah rendah hanya dibuka hanya untuk murid berkeperluan khas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), manakala bagi sekolah menengah dalam Fasa Dua hanya membabitkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua.

Artikel Berkaitan: